
SHAH ALAM: Kedah meneruskan dominasi mereka dalam acara berbasikal merentas desa Olimpik (XCO) wanita apabila mempertahankan pingat emas buat edisi keempat berturut-turut pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, semalam.
Kejayaan itu disempurnakan Nurul Nabilah Mohd Asri yang menghadiahkan emas buat negeri Jelapang Padi pada penampilan terakhirnya di pentas SUKMA.
Pelumba berusia 21 tahun itu menamatkan perlumbaan sejauh 15 kilometer di Denai Peladang Agro, MTB Trail dengan catatan satu jam 16 minit 40 saat (1:16:40s), sekali gus muncul pelumba terpantas dalam perlumbaan yang berlangsung dalam keadaan trek mencabar.
Lebih manis rakan senegerinya, Zahra Afifah Zamri turut menaiki podium selepas meraih pingat perak dengan masa 1:16:48s, manakala gangsa menjadi milik wakil Selangor, Qisya Batrisya Othman yang mencatat 1:18:34s.
Bagi Nabilah, kemenangan tersebut mempunyai makna tersendiri buat dirinya kerana berjaya memperbaiki pencapaian pada SUKMA Sarawak sebelum ini apabila sekadar membawa pulang pingat perak dalam acara yang sama.
“Ini SUKMA terakhir saya dan saya bangga dapat bawa balik pingat emas untuk negeri Kedah,” katanya.
Perlumbaan di Denai Peladang Agro bagaimanapun bukan laluan mudah buat semua pelumba apabila keadaan trek yang basah selepas hujan menjadikan permukaan laluan lebih licin dan berisiko.
Nabilah berkata, faktor pemilihan laluan yang tepat menjadi kunci utama kejayaannya mengharungi cabaran tersebut tanpa melakukan kesilapan besar.
“Ada tempat senang dan ada tempat susah. Saya cuba ambil kelebihan itu untuk menutup kelemahan di tempat yang susah.
“Trek tadi sangat basah, jalan licin. Jadi betul-betul kena tengok jalan yang elok dan okey,” ujarnya.
Kejayaan itu sekali lagi mengesahkan status Kedah sebagai kuasa utama acara XCO wanita di SUKMA selepas menguasai acara tersebut sejak beberapa edisi lalu.
Pencapaian satu-dua menerusi Nabilah dan Zahra turut membuktikan program pembangunan berbasikal negeri itu terus menghasilkan pelumba berkualiti yang mampu bersaing di peringkat tertinggi. – UTUSAN
The post Nabilah ‘tutup’ SUKMA terakhir penuh bergaya appeared first on Utusan Malaysia.






