Tahap Ancaman Keselamatan Siber Negara (NCTL) dinaikkan daripada Rendah kepada Sederhana sebagai langkah berjaga-jaga susulan perkembangan konflik geopolitik serta ketegangan keselamatan di peringkat serantau dan antarabangsa.
Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri (MKN JPM) dalam satu kenyataan memaklumkan, peningkatan tahap ancaman itu dilaksanakan oleh Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) bagi memastikan perkhidmatan penting negara terus terlindung daripada sebarang kemungkinan gangguan.
Menurut kenyataan itu, NACSA turut mengadakan mesyuarat bersama Ketua Sektor dan entiti Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII) pagi tadi bagi memperkukuh penyelarasan kesiapsiagaan keselamatan siber di setiap sektor.
“Mesyuarat tersebut menetapkan agar semua entiti NCII melaksanakan sembilan tindakan kesiapsiagaan keselamatan siber, termasuk pemantauan 24 jam, tampalan sistem, pengesahan pelbagai faktor dan pengemaskinian Pelan Kesinambungan Perkhidmatan.
“Ketua Sektor NCII juga dikehendaki mengemukakan laporan status ancaman secara mingguan kepada NACSA,” katanya pada Rabu.
Langkah kesiapsiagaan berkenaan turut dibentangkan dalam Mesyuarat Khas Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Perkhidmatan pada 3 November lalu, susulan kenyataan Perdana Menteri di Dewan Rakyat berhubung kesiapsiagaan keselamatan negara.

Foto: Janaan AI
Dalam pada itu, NACSA menerusi Pusat Kawalan dan Penyelarasan Siber Negara (NC4) turut melaksanakan tiga gerak kerja utama secara berterusan bagi memperkukuh pertahanan siber negara.
“Gerak kerja itu merangkumi pengeluaran amaran dan nasihat keselamatan siber, pengukuhan keupayaan pengesanan serta penilaian ancaman, selain pemantauan keselamatan siber terhadap entiti NCII dan agensi kerajaan.
“Langkah ini membolehkan tindakan pencegahan dan mitigasi diambil lebih awal bagi mengurangkan risiko gangguan terhadap perkhidmatan penting negara,” ujarnya kenyataan itu.
Menurut MKN JPM, sepanjang Oktober 2026, NC4 telah mengeluarkan lapan amaran dan nasihat berkaitan kerentanan yang memberi impak kepada entiti NCII serta agensi kerajaan.
MKN JPM turut memaklumkan pihaknya akan terus menyalurkan perkembangan terkini menerusi kenyataan media di saluran komunikasi rasmi agensi itu.
“MKN JPM kekal komited dalam memastikan keselamatan, kestabilan dan kedaulatan negara terus terpelihara melalui langkah kesiapsiagaan yang menyeluruh, bersepadu dan berterusan, demi melindungi rakyat serta kepentingan negara,” maklumnya.
Sumber: Facebook Majlis Keselamatan Negara





