Nadma perkukuh tindakan jerebu, keselamatan murid diutamakan

LocalEnvironment
14 Oct 2026 • 3:47 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Nadma perkukuh tindakan jerebu, keselamatan murid diutamakan

PETALING JAYA – Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menggesa semua Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) mempergiat tindakan menangani jerebu dengan memberi keutamaan kepada kesihatan dan keselamatan rakyat, khususnya murid sekolah.

Nadma dalam kenyataan hari ini berkata, tindakan itu merangkumi mesyuarat penyelarasan secara berkala, pemantauan kualiti udara berterusan serta tindakan segera oleh agensi berkaitan.

Menurutnya, langkah berkenaan susulan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) Pengurusan Bencana Negara pada 16 September lalu yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Kuching, Sarawak.

Penyelarasan itu turut diperkukuh menerusi perbincangan antara agensi pada 13 Oktober lalu membabitkan Nadma, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Nadma berkata, keputusan berkaitan pengoperasian sekolah tertakluk kepada garis panduan KPM serta penilaian keadaan semasa bagi memastikan keselamatan murid terjamin tanpa menjejaskan kelangsungan pendidikan secara berpanjangan.

Katanya, tindakan menangani jerebu perlu berpandukan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan dengan mengambil kira bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU), keadaan cuaca, risiko pembakaran terbuka dan kesan terhadap kesihatan awam.

JPBN juga perlu memastikan anggota, peralatan dan sumber mencukupi di kawasan terjejas, selain menyelaras tindakan semua agensi berkaitan.

Sekiranya keadaan bertambah serius, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) boleh diaktifkan mengikut keperluan operasi bagi mempercepat penyelarasan tindakan dan bantuan kepada penduduk terjejas.

Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar apabila kualiti udara merosot, terutama kanak-kanak, warga emas, wanita hamil serta individu yang mempunyai masalah pernafasan.

Ibu bapa turut diminta mengikuti pengumuman rasmi KPM dan pihak sekolah berhubung sebarang perubahan pengoperasian sekolah.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini bacaan IPU menerusi portal JAS di https://eqms.doe.gov.my/APIMS/main, ramalan cuaca melalui https://www.met.gov.my dan nasihat kesihatan berkaitan jerebu di https://www.moh.gov.my.

Nadma turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan, khususnya di media sosial, bagi mengelakkan kekeliruan.- KOSMO! ONLINE

The post Nadma perkukuh tindakan jerebu, keselamatan murid diutamakan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved