Nagoya bukan penamat, Irfan tekad bangkit

26 Sep 2026 • 8:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Nagoya bukan penamat, Irfan tekad bangkit

PETALING JAYA: “Saya takkan mengalah.”

Itu penegasan jaguh lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin selepas impiannya untuk menghadiahkan pingat kepada Malaysia pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 tidak kesampaian.

Irfan mengakui kecewa dengan persembahannya selepas hanya mampu menghasilkan catatan 56.37 meter (m) untuk menamatkan saingan di tempat ke-10, sekali gus menutup peluang untuk bersaing dalam perebutan pingat di Stadium Olahraga Mizuho, Nagoya, kelmarin.

Lebih mengecewakan, catatan itu jauh daripada kemampuan sebenar Irfan yang sebelum ini mampu melakukan lemparan sekitar 60 hingga 62m sepanjang musim ini di mana dia berjaya memecahkan rekod kebangsaan miliknya sendiri setelah melakukan catatan 62.87m di Veszprem, Hungary, Jun lalu.

“Saya minta maaf kepada semua rakyat Malaysia. Ini sukan, tiada apa yang pasti. Kita sudah cuba sehabis baik, tetapi ketika pertandingan, ia tidak menjadi.

“Sudah tentu saya kecewa dan kesal. Saya tahu rakyat Malaysia dan peminat sukan tanah air kecewa dengan saya.

“Tetapi, apa yang saya boleh katakan, saya sudah berjuang sehabis baik. Saya sudah cuba sedaya upaya dan banyak berkorban untuk sukan ini, khususnya untuk temasya ini. Apa yang saya nak cakap, saya takkan putus asa. Masih terdapat ruang untuk penambahbaikan,” katanya.

Kegagalan tersebut tidak memadam semangat juang Irfan untuk terus memperbaiki prestasinya malah pemenang pingat emas Sukan SEA tujuh kali itu enggan menjadikan edisi kali ini sebagai penampilan terakhirnya di Sukan Asia.

“Sukan Asia yang terakhir? Tidak. Sudah tentu tidak. Insya-Allah masih lagi mencuba, saya masih lagi berusaha. Saya akan bekerja keras dan yang penting saya tahu saya sudah lakukan sehabis baik. Insya-Allah saya akan kembali lebih kuat,” katanya.

Berdasarkan rekod penampilan Irfan di temasya terbesar Asia itu dia menamatkan saingan di kedudukan ke-12 pada Sukan Asia Incheon 2014 dengan catatan 53.86m, tempat kelima di Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 (57.70m) dan tangga keenam di Sukan Asia Hangzhou 2022 (58.94m). – UTUSAN

The post Nagoya bukan penamat, Irfan tekad bangkit appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved