
PETALING JAYA: Impian atlet lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin untuk mendapatkan kedudukan podium di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 tidak berjaya apabila sekadar berpuas hati di kedudukan ke-10 keseluruhan.
Selepas melakukan tiga percubaan pertama di Stadium Olahraga Mizuho, Nagoya, hari ini, Irfan hanya mampu membuat lontaran sejauh 56.37 meter (m) sekali gus tidak melayakkannya untuk memperoleh tiga percubaan tambahan berdasarkan format pertandingan.
Atlet China menguasai podium pada acara tersebut selepas emas dimenangi Abuduaini Tuergong dengan balingan 64.26m yang dilakukannya pada percubaan ketiga.
Rakan senegaranya, Nanjun Wu membawa pulang perak menerusi lemparan 61.58m pada percubaan pertamanya dan melengkapkan podium adalah Sadegh Samimishalamzari dari Iran dengan catatan 60.32m.
Itu bukanlah pencapaian terbaik Irfan memandangkan pemenang pingat emas Sukan SEA tujuh kali itu sebelum ini berjaya memecahkan rekod kebangsaan miliknya sendiri apabila melakukan catatan 62.87m di Veszprem, Hungary, Jun lalu.
Berdasarkan rekod penampilan Irfan di temasya terbesar Asia itu dia menamatkan saingan di kedudukan ke-12 pada Sukan Asia Incheon 2014 dengan catatan 53.86m, tempat kelima di Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 (57.70m) dan tangga keenam di Sukan Asia Hangzhou 2022 (58.94m). – UTUSAN
The post Irfan akur di kedudukan kedua tercorot appeared first on Utusan Malaysia.




