
KUALA LUMPUR - Empat sekeluarga dari Terengganu maut dalam satu kemalangan ngeri membabitkan lima kenderaan berhampiran Penjara Simpang Renggam tengah hari tadi, antara nahas yang disifatkan terburuk di Johor tahun ini.
Nahas yang berlaku di Jalan Renggam–Simpang Renggam sekitar jam 1 tengah hari itu melibatkan sebuah Toyota Vios, Perodua Alza, Proton Wira, Mercedes-Benz dan BMW.
Kesemua empat mangsa yang maut berada dalam Toyota Vios dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Mereka dikenal pasti sebagai Semek Mat Soh, 73; Aiman Mohd Rashid, 36; Nor Azlina Abd Latip, 33; dan Nur Airish Syifa Sidek, 10.
Difahamkan, semua mangsa merupakan penduduk Taman Setia, Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Dungun, Terengganu.
Nahas berkenaan turut mengakibatkan seorang daripada mangsa tercampak keluar dari kenderaan, sebelum jatuh ke atas bumbung sebuah Mercedes-Benz yang turut terlibat dalam insiden tersebut.
Komander operasi Balai Bomba dan Penyelamat Renggam, Ismail Mamat, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.16 petang sebelum lima anggota ditugaskan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, kami mendapati kemalangan membabitkan lima buah kenderaan,” katanya.
Getaran diberitahu, nahas turut mencederakan dua individu lain iaitu pemandu Perodua Alza, Husnizam Hisamudin, 38, serta pemandu BMW yang identitinya masih belum dikenal pasti.
Sementara itu, lima lagi individu terselamat tanpa mengalami kecederaan serius, terdiri daripada pemandu Proton Wira, Muhammad Amirul Hazim Misnon, 22, serta empat penumpang Mercedes-Benz iaitu Mohd Azhar Ahmad, 63; anaknya Muhammad Hariz Mohd Azhar, 23; Rahimar A. Rahman, 57; serta seorang penumpang wanita yang identitinya masih belum disahkan.
Pasukan bomba dan penyelamat telah mengawal keadaan di lokasi kejadian serta membantu operasi mengeluarkan mangsa, manakala pihak polis sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kemalangan.
Setakat ini, perincian kejadian yang membawa kepada tragedi tersebut masih dalam siasatan lanjut pihak berkuasa.
Rakaman video di lokasi kejadian boleh disaksikan di pautan https://www.facebook.com/share/r/1NgmueVrkh/?mibextid=wwXIfr - Getaran, 1 Jun 2026






