Nahas Ayer Keroh: 2 Beradik Terselamat Dibenarkan Keluar Hospital, Menangis Bila Diberitahu Ibu Bapa Telah Tiada

29 Dec 2024 • 9:37 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Kemalangan ngeri yang meragut 7 nyawa baru-baru ini di Kilometer 204 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara telah menyebabkan dua orang mangsa yang juga adik-beradik berusia tujuh dan empat tahun yatim piatu kerana ibu bapa mereka meninggal dunia akibat kemalangan itu.

image is not available

Kedua-dua beradik itu, Muhammad Uwais Al-Qarni Khairul Ikhwan dan Nur Sofea Humaira sebelum ini dirawat di hospital selepas cedera dalam kemalangan itu.

Petang Sabtu semalam, kedua-dua mereka telah dibenarkan untuk keluar hospital untuk pulang ke rumah, lapor Astro AWANI.

image is not available

Dua beradik itu difahamkan pulang ke rumah mereka di Bangi, Selangor ditemani oleh ahli keluarga dan selepas ini akan berada di bawah jagaan datuk dan nenek mereka, lapor Harian Metro.

Mereka berdua juga perlu menjalani rawatan susulan di Hospital Serdang dan doktor turut mengesyorkan mereka untuk menerima rawatan psikiatri di Hospital Kuala Lumpur.

Menurut datuk mereka, kedua-dua cucunya itu menangis setelah diberitahu bahawa ibu bapa dan adik bongsu mereka telah meninggal dunia dalam kemalangan yang menimpa mereka sekeluarga itu.

Difahamkan juga, dengan bantuan pakar psikiatri Hospital Melaka, berita pemergian ibu bapa mereka itu dimaklumkan kepada Muhammad Uwais dan Nur Sofea oleh ahli keluarga mereka.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.