
KUALA KRAI – Suasana pilu menyelubungi upacara pengebumian dua beradik yang maut dalam kemalangan di Kilometer 90, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Bukit Bauk, Dungun di Terengganu semalam.
Jenazah Mohamad Zulkifli Ishak, 32, dan adiknya, Muhammad Alif Syukri, 18, selamat dikebumikan dalam satu kubur di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Era di sini kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
Ibu arwah dua beradik itu, Seedah Arwea, 51, berkata, dia reda dengan pemergian kedua-dua anaknya dan sangat menghargai usaha semua pihak yang menguruskan jenazah di Hospital Dungun.
Katanya, dia masih tidak tidur sejak semalam sehingga hari ini kerana menunggu jenazah kedua-dua anaknya tiba dari Dungun.
“Saya ada lima orang anak dan kini hanya tinggal tiga orang sahaja. Saya reda dengan kehilangan Mohamad Zulkifli dan Muhammad Alif Syukri yang merupakan antara dua anak yang sangat rapat dengan saya,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Era di sini.
Isteri kepada Allahyarham Mohamad Zulkifli, Norshila Zali, 36, yang turut maut dalam nahas itu dikebumikan di kampungnya di Ketereh, Kota Bharu.
Terdahulu, hampir 200 ahli keluarga dan penduduk kampung mengiringi jenazah dua beradik itu ke tanah perkuburan. – KOSMO! ONLINE
The post Nahas Dungun: Mereka sangat rapat dengan saya – Ibu appeared first on Kosmo Online.






