Ibu hampir pitam tahu dua anak, menantu maut nahas di Dungun

26 Oct 2026 • 12:42 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Ibu hampir pitam tahu dua anak, menantu maut nahas di Dungun

KUALA KRAI – Seorang ibu hampir pitam selepas mendapat berita mengenai dua anak lelaki dan menantunya meninggal dunia selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka bertembung dengan sebuah trak pikap milik syarikat utiliti di Kilometer 90, Jalan Kuala Terengganu -Kuantan berhampiran Bukit Bauk, Dungun di Terengganu semalam.

Dalam nahas kira-kira pukul 5 petang itu, Mohamad Zulkifli Ishak, 32, dan isterinya, Norshila Zali, 36, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala adik kepada Mohamad Zulkifli, Muhammad Alif Syukri, 18, menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Dungun.

Adik kepada Allahyarham Mohamad Zulkifli, Ruqaiyah, 28, berkata, ibunya, Seedah Arwea, 51, hampir pitam selepas mendapat tahu berita dua anak dan menantu maut selepas dimaklumkan oleh rakan abangnya yang datang ke rumah kira-kira pukul 7 malam semalam.

Ruqaiyah berkata, abang sulungnya itu terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Sungai Durian di sini selepas menjemput Muhammad Alif Syukri yang merupakan adik bongsu daripada lima beradik di Politeknik Sultan Ahmad Shah (Polisas), Kuantan, Pahang.

“Abang bertolak dari rumahnya kira-kira pukul 3 petang kelmarin dan pulang ke Kelantan petang semalam. Sebelum terbabit dalam kemalangan, saya ada menghantar WhatsApp kepadanya dengan bertanya sama ada di sudah bertolak pulang atau sebaliknya.

“Kira-kira 20 minit kemudian, arwah abang membalas WhatsApp bahawa dia sudah bertolak dari Kuantan, tetapi akan singgah memancing sebelum bertolak balik ke Kelantan,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Pasir Era di sini hari ini

Ruqaiyah memberitahu, dia dan keluarga tidak berasa bimbang kerana arwah abang memang suka menyinggah di satu-satu lokasi dan sering tiba pada lewat malam.

Katanya, kali terakhir ahli keluarga bercakap dengan Allahyarham Muhammad Alif Syukri pada malam Sabtu lalu menerusi panggilan video.

“Kami bercakap dan berborak seperti biasa. Tiada sebarang perubatan sikap ditunjukkan oleh arwah ketika kami berhubung menerusi panggilan video itu.

“Jenazah arwah abang dan adik bongsu kami tiba di rumah kira-kira pukul 9 pagi tadi untuk disemadikan Tanah Perkuburan Islam, Kampung Pasir Era tengah hari ini. Jenazah kakak ipar saya pula dikebumikan di Ketereh, Kota Bharu,” ujarnya.

Kosmo! Online semalam melaporkan, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Nik Ab. Halim Nik Mat berkata, sewaktu kejadian, kesemua mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke Kampung Pasir Era di sini selepas menjemput Muhammad Alif Syukri di Polisas.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, SUV jenis Nissan Grand Livina dipandu Mohamad Zulkifli dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas memasuki laluan bertentangan.

“Sebuah trak pikap jenis Toyota Hilux milik sebuah syarikat utiliti gagal mengelak lalu merempuh bahagian kiri kenderaan dinaiki tiga sekeluarga terbabit,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Ibu hampir pitam tahu dua anak, menantu maut nahas di Dungun appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved