Nahas Elmina: 10 mayat mangsa telah ditemui

17 Aug 2023 • 11:34 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan unit Forensik membawa keluar mangsa yang terlibat dalam nahas pesawat terhempas di Bandar Elmina Shah Alam hari ini. Foto Bernama

image is not available
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan (dua, kanan) semasa sidang media berkaitan nahas pesawat terhempas di Bandar Elmina Shah Alam hari ini.- Foto Bernama

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kesemua 10 mayat mangsa korban tragedi pesawat terhempas berhampiran kawasan perumahan di Elmina, di sini telah ditemui.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi mencari selesai jam 10.30 malam.

Menurutnya, kesemua anggota badan serta lima bungkusan cebisan mayat dihantar ke Hospital Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.

“Polis akan sambung pencarian kali kedua sekiranya ada yang tertinggal.

“Kita percaya proses bedah siasat akan selesai pagi atau tengah hari esok termasuk analisis DNA (ujian asid deoksiribonukleik)," katanya ketika sidang media, di sini pada Khamis.

Nahas pesawat jenis jet peribadi itu berlaku berhampiran kawasan perumahan Elmina di sini setelah terhempas di jalan raya dan seramai 10 mangsa disahkan terkorban.

Mangsa terdiri daripada lapan penumpang dan kru pesawat, selain dua orang awam iaitu penunggang motosikal dan pemandu kereta yang kebetulan berada di lokasi nahas.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan tidak menerima sebarang panggilan kecemasan atau 'Mayday'.

Pesawat berkenaan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada jam 2.08 petang dan mendapat kebenaran untuk mendarat Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, namun terhempas dua minit sebelum mendarat.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dilapor berkata, berdasarkan pengamatan awal, pesawat berkenaan didapati melencong ke sebelah kanan daripada laluan pendaratan.

ARTIKEL BERKAITAN