Nahas Elmina: Jaga privasi, hormat perasaan keluarga mangsa

18 Aug 2023 • 12:27 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mohd Shuhaily (dua dari kanan) ketika di lokasi tragedi pesawat terhempas di Elmina, Seksyen U16, di sini pada Jumaat.

SHAH ALAM - Orang ramai diminta menjaga privasi dan menghormati perasaan keluarga mangsa susulan tular beberapa video kejadian pesawat yang terhempas di Elminam, Seksyen U16 di sini pada Khamis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, tindakan menyebar dan menularkan video berkaitan insiden tersebut di media sosial tidak seharusnya berlaku.

"Kita kena ingat, insiden ini melibatkan kehilangan nyawa ahli keluarga mereka di luar sana dan pastinya mereka bersedih dengan apa yang berlaku.

"Hormatilah perasaan mereka, jangan sebarkan sesuka hati dalam media sosial, jaga privasi keluarga mangsa terlibat," katanya kepada media ketika ditemui di lokasi tragedi pesawat terhempas di Elmina, Seksyen U16, di sini pada Jumaat.

Katanya, sebarang maklumat berkaitan kejadian seharusnya diberikan kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.

"Jika ada maklumat, terus salur kepada pihak berkuasa, itu sebaiknya," katanya.

Sebelum itu, tular di media sosial beberapa gambar dan video berkaitan tragedi yang memaparkan insiden suasana awal kejadian melibatkan pesawat terhempas di Elmina, Seksyen U16 di sini.

Pada Khamis, seramai 10 mangsa disahkan terkorban dalam nahas pesawat jenis jet peribadi itu.

Mangsa terdiri daripada lapan penumpang dan kru pesawat, selain dua orang awam iaitu penunggang motosikal dan pemandu kereta yang kebetulan berada di lokasi nahas.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan tidak menerima sebarang panggilan kecemasan atau 'Mayday'.

Pesawat berkenaan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada jam 2.08 petang dan mendapat kebenaran untuk mendarat Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, namun terhempas dua minit sebelum mendarat.

ARTIKEL BERKAITAN