Nahas helikopter: Insentif petugas Perkhidmatan Kesihatan Udara RM30 perlu dikaji semula - MMA

LocalHealth & Fitness
10 Sep 2026 • 10:26 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Nahas helikopter: Insentif petugas Perkhidmatan Kesihatan Udara RM30 perlu dikaji semula - MMA
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) di sekitar lokasi nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) yang terhempas berdekatan Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport), Ulu Baram. Foto Bernama

PUTRAJAYA – Insentif Perkhidmatan Kesihatan Udara sebanyak RM30 yang diperkenalkan pada 1978 dan kekal pada kadar sama selama 48 tahun perlu dikaji semula secara menyeluruh, tegas Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Presidennya, Datuk Dr R Thirunavukarasu berkata, insentif berkenaan sudah tidak lagi memadai untuk mencerminkan risiko yang ditanggung petugas kesihatan ketika menjalankan tugasan rasmi.

“Insentif Perkhidmatan Kesihatan Udara sebanyak RM30 telah diperkenalkan pada 1978 dan kekal tidak berubah.

"Lebih penting, elaun ini bukan insurans dan tidak boleh memberikan pampasan bagi kematian atau hilang upaya kekal,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, petugas kesihatan yang dikerahkan untuk misi domestik melalui udara, darat atau laut dilihat tidak menerima perlindungan insurans perjalanan dan kemalangan diri khusus seperti yang disediakan kepada penjawat awam ketika menjalankan tugas rasmi di luar negara.

“Ini merupakan jurang dasar yang perlu ditutup serta-merta," tegas beliau.

Pada Selasa, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan lima individu berada di dalam helikopter BO-105 yang terhempas berhampiran Lapangan Terbang STOL Long Lellang.

CAAM berkata pihaknya menerima makluman mengenai kejadian itu daripada Perkhidmatan Maklumat Penerbangan pada jam 3.58 petang.

Helikopter buatan Jerman itu dikenal pasti mempunyai nombor pendaftaran 9M-LLF.

Nahas tersebut mengorbankan Kapten Zainol Afiq Sham Bee, pegawai perubatan, Dr Dr Ainul Baraah Kamaruddin bersama pembantu pegawai perubatan, Alexson Adit dan dua jururawat, Debra Moset serta Jessie Paya yang dalam perjalanan ke Long Lellang bagi memberi perkhidmatan kesihatan kepada penduduk setempat.

Ujar Dr Thirunavukarasu, tragedi itu bukan amaran pertama berhubung risiko operasi FDS apabila sebuah helikopter perkhidmatan berkenaan terhempas di Cameron Highlands pada 2022 sehingga menyebabkan petugas mengalami kecederaan serius.

Kejadian pendaratan kecemasan membabitkan operasi FDS turut dilaporkan di Sabah pada 2024 dan Sarawak pada 2025.

“Insiden-insiden ini tidak lagi boleh dilayan secara berasingan dan dilupakan selepas tajuk berita mula reda,” katanya.

Beliau turut memetik penyelidikan di Malaysia berasaskan data polis yang merekodkan purata 129 kemalangan ambulans setiap tahun sepanjang tempoh lima tahun kajian, termasuk sembilan kemalangan maut.

“Doktor, jururawat, penolong pegawai perubatan, pemandu ambulans dan pesakit telah terkorban atau mengalami kecederaan serius,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Thirunavukarasu menegaskan, peningkatan elaun semata-mata tidak menjadikan sesuatu misi yang tidak selamat sebagai selamat.

“Kenaikan elaun semata-mata tidak menjadikan misi yang tidak selamat sebagai selamat. Insurans, latihan yang sewajarnya, pengangkutan selamat dan akauntabiliti majikan perlu menjadi sebahagian daripada satu rangka kerja perlindungan menyeluruh,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan menyediakan insurans kemalangan diri dan perjalanan yang dibiayai kerajaan kepada semua petugas yang menjalankan tugas rasmi kesihatan melalui udara, darat atau laut.

Perlindungan itu perlu merangkumi misi tindak balas bencana, bantuan kemanusiaan dan misi ihsan tanpa mengira sama ada petugas berstatus tetap, kontrak atau bekerja melalui operator yang dilantik.

Selain itu, beliau mahu kerajaan menubuhkan pasukan petugas kebangsaan pelbagai disiplin bagi mengkaji keseluruhan sistem FDS, Medevac, ambulans dan bot perubatan.

Kajian haruslah merangkumi model perkhidmatan, kesesuaian aset, penyelenggaraan, pemilihan kontraktor, protokol cuaca, keletihan petugas, peralatan kecemasan, konfigurasi klinikal, latihan keselamatan dan pelaporan insiden.

Pada masa sama, beliau menegaskan, kontrak pengangkutan kesihatan tidak boleh diberikan berdasarkan harga terendah semata-mata.

“Rekod keselamatan, kesesuaian aset, keupayaan penyelenggaraan, pengalaman operasi, kesiapsiagaan kecemasan dan keperluan klinikal mesti diberikan pertimbangan yang menentukan,” katanya.

Menurut Dr Thirunavukarasu, petugas kesihatan perlu diberikan latihan keselamatan dan kecemasan yang sewajarnya sebelum dihantar bertugas, termasuk prosedur pemindahan kecemasan selain latihan bersesuaian dengan operasi udara, darat serta laut.

Petugas juga perlu diberikan ruang untuk mengemukakan kebimbangan keselamatan atau menolak penugasan yang dianggap tidak selamat tanpa berdepan intimidasi, diskriminasi atau tindakan tatatertib.

Ujarnya, kerajaan juga perlu membangunkan rangka kerja perkhidmatan aeroperubatan kebangsaan secara berperingkat merangkumi perkhidmatan kesihatan luar bandar berjadual, Medevac kecemasan dan pengambilan pesakit, pemindahan antara hospital, tindak balas bencana serta integrasi dengan ambulans darat dan hospital penerima.

“Lima nyawa yang terkorban di Long Lellang mesti menjadi titik perubahan.

“Rasa simpati selepas tragedi adalah penting, namun, mencegah tragedi seterusnya adalah satu tanggungjawab,” katanya.

Beliau menegaskan tiada petugas kesihatan sepatutnya dihantar melalui udara, darat atau laut tanpa latihan yang sewajarnya, jaminan keselamatan yang telus serta perlindungan untuk keluarga yang menanti kepulangan mereka.

“Mereka yang dihantar untuk menyelamatkan nyawa tidak sepatutnya diminta mengorbankan perlindungan mereka sendiri sebagai syarat perkhidmatan,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan pihaknya telah mengemukakan cadangan berkaitan elaun petugas FDS yang didakwa dibayar pada kadar RM30 untuk pertimbangan pihak berwajib sejak November tahun lepas.

Jelasnya, perkara itu merupakan antara usaha kementerian dalam memastikan kebajikan petugas kesihatan yang terlibat dalam perkhidmatan FDS diberikan perhatian sewajarnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved