Nahas helikopter: Jenazah Dr Ainul dijangka dikebumikan di Kelantan esok

10 Sep 2026 • 11:32 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Nahas helikopter: Jenazah Dr Ainul dijangka dikebumikan di Kelantan esok

SHAH ALAM, 10 SEPT: Jenazah Allahyarham Dr Ainul Baraah Kamarudin, 33, dijangka dibawa pulang dan dikebumikan di Kelantan, esok.

Ahli keluarga terdekat kepada suami arwah, Mohd Aidi Amin Ghani, 53, berkata jenazah bakal disolatkan di Masjid Karomah, Kampung Baung sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Sri Kedeper.

“Insya-Allah jenazah akan tiba di Kelantan esok. Sekarang masih urusan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) kerana jenazah kelima-lima mangsa dikatakan bercampur,” katanya.

Menurutnya, proses berkaitan jenazah masih berlangsung sebelum ia dapat dibawa pulang ke Kelantan.

“Difahamkan, Mufti Sarawak Datu Khalidi Ibrahim akan hadir untuk beberapa urusan berkaitan jenazah itu di Kuching,” katanya ketika dihubungi, lapor Kosmo! Online.

Akhbar semalam melaporkan keluarga Dr Ainul Baraah yang maut dalam tragedi helikopter terhempas di Marudi, Sarawak kelmarin sedang menunggu untuk menjalani proses pengumpulan dan pengecaman barangan peribadi mangsa.

Proses berkenaan melibatkan ahli keluarga terutama bapanya, Kamarudin Salleh, 69, dan ibunya, Rogayah Mohd Noor, 69, di Hospital Miri.

Kedua-dua ibu dan bapa Dr Ainul Baraah tiba di Miri kira-kira jam 1 tengah hari semalam sebelum ditempatkan di sebuah hotel sementara menunggu proses pengecaman.

Ahli keluarga turut dimaklumkan mereka perlu membuat pengecaman terhadap barangan yang dipakai Dr Ainul Baraah ketika kejadian.

“Kami dimaklumkan, ahli keluarga yang pergi ke sana akan melakukan pengecaman terhadap barangan yang dipakai Ainul Baraah ketika kejadian seperti pakaian, barangan kemas atau jam tangan miliknya di Hospital Miri,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved