Nahas Helikopter: Jururawat Debra pulang sebagai jasad di rumah baharu

13 Sep 2026 • 4:36 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Nahas Helikopter: Jururawat Debra pulang sebagai jasad di rumah baharu
Suasana pilu menyelubungi rumah keluarga Debra (gambar kecil) ketika rakan sejawat dan ahli keluarga memberi penghormatan terakhir kepada jenazah mendiang di Kampung Semadang, Padawan pada Ahad. Foto: Bernama
Image from: Nahas Helikopter: Jururawat Debra pulang sebagai jasad di rumah baharu
Ahli keluarga dan rakan-rakan memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang Debra. Foto: Bernama

KUCHING - Hasrat jururawat Debra Moset mengadakan pertemuan semula dengan rakan sekolah di rumah baharunya di Kampung Semadang, di sini tidak kesampaian selepas terkorban dalam nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Baram, Miri, Selasa lepas.

Rumah yang sepatutnya menjadi tempat Debra, 40, dan rakan sekolah berkumpul untuk mengimbau kenangan lama, hari ini menjadi lokasi jasadnya dibawa pulang untuk penghormatan terakhir.

Sepupu mendiang, Sandra Ninyong, 43, berkata, Debra dan keluarga juga tidak sabar untuk mengadakan majlis kesyukuran di rumah itu yang dijadualkan pada minggu depan, iaitu sebelum majlis pertemuan semula tersebut.

"Anak perempuan sulung mendiang Euodia juga telah menghantar jemputan kepada sepupunya menerusi WhatsApp untuk datang ke rumah pada minggu hadapan.

"Ini kali pertama dan terakhir Debra masuk ke rumah yang telah ditunggunya selama kira-kira setahun untuk disiapkan,” katanya ketika ditemui Bernama di Kampung Semadang, dekat sini hari ini.

Debra meninggalkan suami John Then Hua Ken, 43, dan sepasang cahaya mata Euodia Then Suling, 15, dan Eugene Then Suling, 12.

Terdahulu, jasad mendiang dibawa pulang dari Miri dengan menggunakan pesawat yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching kira-kira 10 pagi dan dibawa ke kampung halamannya pada 12.30 tengah hari.

**media[3646153]**

Mendiang akan dikebumikan di Tanah Perkuburan St Patrick, Semadang pada esok.

Sementara itu, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong Datuk Dr Jerip Susil turut hadir ke kediaman mendiang.

Dr Jerip berkata khidmat kaunseling akan disediakan kepada keluarga mendiang jika diperlukan bagi membantu mereka menghadapi kehilangan itu.

"Bantuan kaunseling akan disediakan mengikut keperluan dan jika memerlukan bantuan lain, mereka boleh berhubung terus dengan pihak kita,” katanya.

Debra antara lima mangsa nahas helikopter FDS di Long Lellang, Baram, Sarawak yang terhempas dan terbakar berhampiran hujung landasan STOLport Long Lellang pada kira-kira 3.40 petang Selasa lepas.

Nahas turut mengorbankan juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30, pegawai perubatan Dr Ainul Baraah Kamarudin, 33, jururawat Jessie Paya Jok, 44, dan pembantu perubatan Alexson Adit Henry, 31. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved