![Image from: [VIDEO] Kenalan hiba iringi mendiang Debra Morset dibawa pulang ke Kuching](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/WhatsApp-Image-2026-09-13-at-13.00.17-1024x766.jpeg)
PETALING JAYA – Suasana pilu menyelubungi detik terakhir rakan-rakan dan kenalan mengiringi mendiang jururawat, Debra Morset sebelum jenazahnya dibawa menaiki pesawat untuk diterbangkan pulang ke Kuching, Sarawak, hari ini.
Menerusi rakaman video yang dikongsikan pengguna Threads @dyg_fairyzha dipercayai kenalan kerja kepada Debra, kelihatan sekumpulan individu termasuk petugas kesihatan mengiringi keranda mendiang menuju ke pesawat bagi perjalanan pulang ke negeri kelahirannya.
“Penerbangan SN Debra ke Kuching. Semoga selamat sampai Deb. Kau lah wirawati negara kami,” tulisnya.
Dalam perkongsian berasingan, kenalan mendiang turut meluahkan rasa sebak melihat ramai yang hadir mengiringi mendiang sebelum perjalanan terakhirnya itu.
“Ramainya orang mengiringi kepulangan kau Deb… damailah di tempat baharu, moga anak-anak dan keluarga terdekat semua mangsa nahas heli FDS (doktor udara) kuat dan tabah mengharungi kehidupan tanpa kehadiran kamu semua,” katanya.
Rakaman berkenaan turut mengundang rasa sebak dalam kalangan pengguna media sosial yang rata-rata menzahirkan ucapan takziah serta penghargaan terhadap jasa mendiang sebagai petugas kesihatan.
“Sedih kehilangan kawan, sahabat bekerja… semoga rohnya bersemadi dengan tenang,” tulis @khadeejamummy.
“Sudah habis air mataku untuk mereka ini. Sekali lalu sekali menangis.Selamat jalan wahai wira dan wirawati negara. Kamu betul-betul pejuang rakyat,” kata @mdmzulaikha
Terdahulu, upacara penghormatan terakhir untuk Debra bersama Penolong Pegawai Perubatan (PPP), Alexson Adit dan seorang lagi jururawat, Jessie Paya Jok diadakan di Hospital Miri, hari ini.
Berdasarkan hebahan upacara berkenaan, warga hospital berkumpul seawal pukul 7 pagi bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Debra, diikuti Alexson pada pukul 9 pagi dan Jessie pada pukul 12 tengah hari.
Ketiga-tiga mereka merupakan antara lima petugas kesihatan yang terkorban dalam nahas helikopter di Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport), 8 September lalu. – KOSMO! ONLINE
View this post on Instagram
The post [VIDEO] Kenalan hiba iringi mendiang Debra Morset dibawa pulang ke Kuching appeared first on Kosmo Online.




