
KOTA BHARU – Bapa saudara kepada Dr. Ainul Baraah Kamarudin, 33, yang dilaporkan maut dalam tragedi helikopter terhempas di Marudi, Sarawak semalam membantu bapa kepada doktor itu mencari barangan peribadi milik anak saudaranya untuk dijadikan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengesan jenazah mangsa.
Mohd. Sapri Salleh, 65, berkata, abangnya, Kamarudin, 69, yang merupakan bapa Ainul Baraah menerima panggilan telefon daripada pihak berkuasa kira-kira pukul 10 malam tadi sebelum menerima pesanan agar membawa barangan peribadi anaknya itu ke Sarawak.
Katanya, selepas panggilan itu, dia dan abangnya mencari sikat, berus gigi, sarung bantal dan pakaian Ainul Baraah di dalam bilik rumah keluarganya di Kampung Baung di sini.
“Ainul Baraah dan suaminya, Muhammad Faiz Abdul Malik, 37, pulang ke kampung selama seminggu ketika cuti sekolah minggu lalu. Jadi, pihak berkuasa meminta keluarga mencari dan membawa barangan peribadi yang ada di rumah sebagai sampel DNA untuk mengesan jenazahnya.
“Sekejap sahaja kami berdua mencari kesemua barangan itu kerana ia memang ada di dalam bilik. Kira-kira pukul 10.30 malam tadi, abang dan keluarga terus bergerak ke rumah besannya di Bangi, Selangor sebelum ke Sarawak pagi ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Mohd. Sapri memberitahu, abangnya kelihatan sangat sedih dan letih sebelum bergerak ke Bangi malam tadi.
Sementara itu, Kamarudin ketika dihubungi pada pukul 10 pagi tadi berkata, dia ketika ini berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang untuk menaiki pesawat ke Sarawak.
“Saya sudah nak naik kapal terbang. Nanti telefon balik,” katanya ringkas. – KOSMO! ONLINE
habis
The post Nahas helikopter KKM: Bapa saudara bantu cari berus gigi, sikat untuk sampel DNA Dr. Ainul appeared first on Kosmo Online.





