
KOTA BHARU – Ahli keluarga Dr. Ainul Baraah Kamarudin, 33, yang dilaporkan maut dalam tragedi helikopter terhempas di Marudi, Sarawak semalam sedang menunggu untuk menjalani proses pengumpulan dan pengecaman barangan peribadi mangsa.
Ahli keluarga terdekat kepada suami Ainul Baraah, Mohd. Aidi Amin Ghani, 53, berkata, proses tersebut melibatkan ahli keluarga terutamanya bapa, Kamarudin Salleh, 69, dan Rogayah Mohd. Noor, 69, di Hospital Miri.
Katanya, kedua ibu dan bapa Ainul Baraah tiba di Miri kira-kira pukul 1 tengah hari tadi sebelum ditempatkan di sebuah hotel sementara menunggu proses pengecaman.
“Kami dimaklumkan, ahli keluarga yang pergi ke sana akan melakukan pengecaman terhadap barangan yang dipakai Ainul Baraah ketika kejadian seperti pakaian, barangan kemas atau jam tangan miliknya di Hospital Miri.
“Difahamkan, jenazah kelima-lima mangsa termasuk Ainul Baraah masih berada di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Kosmo! Online semalam melaporkan, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan Ainul Baraah maut selepas helikopter yang dinaikinya bersama empat individu dilaporkan terhempas dan terbakar di kawasan Lapangan Terbang Long Lellang, Ulu Baram di Marudi, Sarawak.
Adik ipar kepada Ainul Baroah iaitu Nureez Mohd. Pauzi, 35, berkata, khabar duka itu dimaklumkan oleh KKM kepada keluarganya kira-kira pukul 4 petang semalam.
“Abang saya, Muhammad Faiz Abdul Malik, 37, yang merupakan suami kepada Dr. Ainul memaklumkan perkara tersebut selepas menerima panggilan dari pihak KKM,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Nahas helikopter: Ahli keluarga tunggu proses cam barangan peribadi Dr. Ainul appeared first on Kosmo Online.





