
KUALA LUMPUR – “Asiah, bangun, bangun, Asiah…kita nak pergi hospital. Kita dah nak sampai hospital dah ini.”
Itu rayuan seorang bapa yang tidak henti-henti memujuk anak perempuannya, Asiah Ahmad Syahir, 5, ketika dalam perjalanan mendapatkan rawatan selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Kuching, di sini, kelmarin.
Detik menyayat hati itu dikongsikan seorang pengguna Threads, Muhammad Auzaie, yang menyaksikan kemalangan berkenaan ketika dalam perjalanan pulang selepas melawat isteri dan anaknya di Hospital Tengku Ampuan (HTA).
Dia berkata, pada mulanya dia hanya terdetik untuk melihat kejadian itu dari tepi jalan sebelum tergerak untuk menghulurkan bantuan apabila melihat seorang bapa sedang memeluk erat anaknya sambil menangis dan meminta pertolongan untuk menghantar kanak-kanak itu ke hospital.
Katanya, dia terus menawarkan diri untuk membawa bapa dan anak berkenaan ke hospital dengan menaiki motosikal.
“Saya terbayangkan anaknya yang mungkin sebaya dengan anak saya sendiri. Tanpa berlengah, saya terus menawarkan diri untuk menghantar mereka ke hospital dengan hanya menaiki motosikal,” katanya.
Menurut Auzaie, sepanjang perjalanan itu, dia menyaksikan sendiri bagaimana bapa berkenaan tidak berhenti memujuk dan memanggil nama anaknya.
Sementara itu, seorang lagi pengguna Threads @iamctejafaizal mendakwa, kanak-kanak terbabit merupakan anak kepada seorang bilal masjid.
Menurut perkongsian itu, ketika kejadian, bapa mangsa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Sungai Penchala kerana dijadualkan bertugas sebagai bilal bagi solat Asar.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut selepas kereta Perodua Bezza yang dinaikinya bersama bapa terlibat dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Jalan Kuching, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.44 petang itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika aliran trafik bergerak perlahan.
Menurutnya, Perodua Bezza yang dipandu seorang lelaki berusia 30 tahun dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kereta BYD Seal sebelum pelanggaran itu turut melibatkan sebuah motosikal.
Pemandu Perodua Bezza mengalami luka di tangan kanan, manakala penunggang motosikal Yamaha 135LC berusia 33 tahun cedera di kepala. Kedua-duanya menerima rawatan di HKL.
Mohd. Zamzuri berkata, pemandu BYD Seal berusia 24 tahun yang meninggalkan lokasi kejadian selepas kemalangan berjaya dikesan polis.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE
The post Nahas Jalan Kuching: ‘Asiah bangun Asiah, kita dah nak sampai hospital’ appeared first on Kosmo Online.





