“Asiah bangun, kita nak sampai hospital ni” – Saksi Kemalangan Sebak Dengar Rayuan Bapa Cuba Selamatkan Anak

12 Oct 2026 • 1:05 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

nahas jalan kuching asiah kanak kanak

Detik seorang bapa merayu agar anak perempuannya terus sedar ketika dalam perjalanan ke hospital merobek hati seorang saksi kemalangan yang berlaku di Jalan Kuching, Kuala Lumpur, kelmarin.

Kisah menyayat hati itu dikongsikan seorang pengguna Threads, Muhammad Auzaie, yang menyaksikan sendiri kejadian berkenaan ketika dalam perjalanan pulang selepas melawat isteri dan anaknya di hospital.

Menurutnya, dia ketika itu berhenti untuk melihat keadaan di lokasi kemalangan sebelum tergerak hati untuk membantu apabila melihat seorang bapa memeluk erat anaknya sambil menangis dan meminta pertolongan untuk membawa kanak-kanak itu ke hospital.

Tanpa berlengah, Auzaie terus menawarkan diri untuk menghantar bapa dan anak berkenaan ke hospital dengan menaiki motosikal.

Katanya, dia tidak dapat membayangkan kesedihan lelaki itu, apatah lagi apabila teringatkan anaknya sendiri yang mungkin sebaya dengan mangsa.

“Melihat sendiri seorang ayah menangis sambil memeluk anaknya, memanggil nama anaknya berkali-kali, benar-benar membuatkan hati saya hancur.

“Saya terbayangkan anak saya sendiri. Saya tidak mampu membayangkan bagaimana jika saya berada di tempat ayah Asiah,” kongsinya.

“Asiah bangun, kita dah nak sampai hospital ni”

Lebih meruntun hati, sepanjang perjalanan ke hospital, Auzaie menyaksikan sendiri bagaimana bapa berkenaan tidak putus-putus memanggil nama anaknya sambil merayu agar si kecil itu terus sedar.

“Asiah, bangun, bangun, Asiah… Kita nak pergi hospital ni. Kita dah nak sampai hospital dah ni,” rayu bapa kanak-kanak terbabit.

Menerusi perkongsian seorang lagi pengguna, bapa mangsa dikatakan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Sungai Penchala ketika kejadian kerana dijadualkan bertugas sebagai bilal bagi solat Asar.

 

View on Threads

 

Terdahulu, media melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun meninggal dunia selepas kereta Perodua Bezza yang dinaikinya bersama bapa terlibat dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Jalan Kuching, Kuala Lumpur, kira-kira pukul 3.44 petang.

Menerusi siasatan awal pihak berkuasa, kereta Perodua Bezza dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kereta BYD Seal sebelum kemalangan itu turut melibatkan sebuah motosikal.

Akibat rempuhan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Sumber: Kosmo!, Threads

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved