

Satu klip video dari rakaman papan pemuka viral di media sosial yang menunjukkan sebuah Bezza dihempap sebuah lori tangki minyak sebelum terbakar di Kilometer 9, Jalan Temerloh-Triang, Pahang semalam.
Dua mangsa yang maut itu disahkan ibu dan anak. Mangsa dikenali sebagai Nur Fatima Abdullah, 39, dan anak lelakinya Muhamad Fattah Aisy Nuafal Saifulnizam, 12.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron, berkata ketika kejadian kereta dinaiki dua beranak terbabit dilaporkan dalam perjalanan dari Jerantut ke Seremban, Negeri Sembilan.
Beliau berkata kereta dinaiki mereka dihempap lori tangki membawa kira-kira 32,000 liter petrol dan diesel.
"Akibat kemalangan itu kereta dan lori terbabit terbakar dan kedua beranak terbabit hangus.
"Walaupun keluarga mangsa sudah tampil memberi keterangan kepada polis namun pengesahan identiti kedua-duanya akan dijalankan melalui perbandingan DNA waris," katanya menerusi kenyataan.






