Nahas Plaza Tol Bukit Kajang: Zuriat Yang Dinanti 10 Tahun, Hilang Sekelip Mata – Bapa

LocalFamily & Parenting
29 Sep 2025 • 10:27 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu

Pada Sabtu lalu (27 September), tular di media sosial video kemalangan melibatkan empat buah kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang, Lebuhraya Kajang Silk (Silk).

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 10.55 pagi itu, empat buah kenderaan yang terlibat terdiri daripada sebuah lori tiga tan yang membawa barangan lusuh, kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan X-Trail milik Jabatan Kerja Raya (JKR), sebuah kereta jenis Honda City dan Proton X70.

Apa yang menjadi perhatian adalah seorang bayi lelaki berusia 12 bulan maut manakala lapan lagi cedera dalam nahas terbabit.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, bayi lelaki berkenaan ditemui tersepit di bawah kereta Nissan X-Trail dan berjaya dikeluarkan pada jam 11.30 pagi namun disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Insiden itu nyata mendapat perhatian pengguna media sosial hingga ramai yang bersimpati dengan nasib yang menimpa mangsa serta ibu bapa bayi tersebut.

🎥1️⃣ (Rakaman CCTV Kejadian) Bayi lelaki berusia setahun maut manakala lapan individu lain cedera dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang, pagi tadi.

Posted by Traffic Info Crew on Saturday 27 September 2025

Seorang pengguna Threads yang dipercayai kenalan keluarga berkenaan kemudiannya mendedahkan keluarga berkenaan menunggu selama 10 tahun untuk mendapatkan zuriat namun ditimpa ujian apabila seorang daripada bayi kembar mereka meninggal dunia selepas setahun dilahirkan.

image is not available

Bayi Lelaki Merupakan Zuriat Yang Ditunggu Selama 10 Tahun

Memetik Sinar Harian, bayi lelaki itu merupakan zuriat yang ditunggu selama 10 tahun oleh pasangan suami isteri, Amirul Ridzuan Abu Bakar dan Nurul Husna Khairuddin.

Menurut Amirul, bayi itu merupakan salah seorang anak kembar dia dan isteri.

 “Kami sudah 10 tahun menanti zuriat, tetapi dalam sekelip mata Allah uji kami dengan kehilangan seorang daripada anak kembar,” jelasnya.

Dalam insiden tersebut, mangsa tercampak keluar dari kereta yang dipandu oleh Nurul Husna Khairuddin selepas dirempuh oleh lori berkenaan.

Jelas Amirul yang berusia 39 tahun dan juga seorang pensyarah, sewaktu kejadian, isteri bersama dua anak kembar mereka Amir Husayn dan Amir Hasan serta ibu bapa mentua keluar pergi sarapan manakala di di Kedah atas urusan kerja.

“Sekitar jam 10.59 pagi, saya menerima mesej kecemasan daripada telefon isteri.

“Saya kemudian cuba menghubunginya beberapa kali namun tidak berjawab sebelum ada orang lain yang menjawab panggilan serta memaklumkan isteri saya terlibat dalam kemalangan,” jelasnya lagi.

Anak Tunjuk Perubahan Sikap Luar Biasa

Kongsi Amirul, anak bongsunya itu ada menunjukkan perubahan sikap luar biasa sebelum kemalangan terbabit.

“Kebiasaannya dia makan bersepah, tetapi pagi itu dia makan elok dan bersungguh-sungguh seolah-olah tahu masanya sudah tiba,” katanya.

Hasil bedah siasat mendapati punca kematian anaknya itu adalah akibat pendarahan dalaman.

Suami Isteri Dikurniakan Zuriat Selepas 10 Tahun Mendirikan Rumah Tangga

Jelasnya lagi, dia dan isteri mendirikan rumah tangga sejak tahun 2013 dikurniakan kembar lelaki tersebut pada 20 Mei tahun lalu setelah hampir 10 tahun menanti kehadiran cahaya mata.

“Amir Husayn lahir 15 saat selepas abangnya, Amir Hasan. Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan.

“Kembar seorang lagi masih sihat dan dalam pemantauan pihak hospital. Isteri pula masih bersedih, jadi saya mahu beri ruang kepadanya,” jelasnya lagi.

Turut Rasa Ralat Kerana Tidak Berada Di Sisi Keluarga

Pada masa yang sama, Amirul mengakui rasa ralat kerana tidak bersama keluarga ketika kejadian berlaku akibat hubungan jarak jauh (PJJ).

“Saya sedih melihat keadaan isteri, lebih-lebih lagi apabila mengenang anak kami yang telah pergi.

“Saya serahkan segalanya kepada pihak berkuasa untuk tindakan sewajarnya,” ujarnya.

Masalah Brek Dipercayai Punca Kemalangan, Pemandu Lori Dipercayai Lompat Keluar Dari Kenderaan

Sebelum ini, media melaporkan masalah brek sebuah lori menjadi punca kemalangan terbabit.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, pemandu lori yang berusia 42 tahun itu dipercayai melompat keluar daripada lorinya selepas mendakwa mengalami masalah brek sebelum merempuh tiga kenderaan lain.

Jelasnya, pemandu lori itu kini ditahan reman selama dua hari dan hasil semakan rekod mendapati lelaki berkenaan memiliki dua rekod jenayah lampau, satu rekod kesalahan dadah dan empat saman trafik.

Manakala, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian berkenaan dan lori yang terlibat dengan kemalangan terbabit akan dihantar bagi menjalani pemeriksaan.

“Berdasarkan rekod, lori terbabit diselenggarakan April lalu dan siasatan masih dijalankan untuk mengetahui sama ada benar kejadian semalam (27 September) itu berpunca akibat masalah brek atau disebabkan faktor lain,” jelasnya.

~KENYATAAN MEDIA KETUA POLIS DAERAH KAJANG~ 27 September 2025 MAKLUMAN KES KEMALANGAN MAUT DI PLAZA TOL BUKIT KAJANG – LEBUHRAYA SILK.

Posted by Polis Daerah Kajang on Saturday 27 September 2025

Source: