NAICO dan Dassault Systèmes lancar pusat latihan aeroangkasa sasar 5,000 pelajar dalam 3 tahun

LocalTechnology
26 Nov 2026 • 4:15 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

NAICO dan Dassault Systèmes lancar pusat latihan aeroangkasa sasar 5,000 pelajar dalam 3 tahun Image from: NAICO dan Dassault Systèmes lancar pusat latihan aeroangkasa sasar 5,000 pelajar dalam 3 tahun amree26/11/2026 - 16:15 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 26 Nov — Malaysia menyasarkan 5,000 pelajar dan golongan profesional industri aeroangkasa dalam tempoh tiga tahun menerusi penubuhan Pusat Latihan Industri (ITC) 3DEXPERIENCE, bagi memperkukuh kemahiran digital serta meningkatkan daya saing sektor berkenaan.

 

Inisiatif kerjasama antara Perbadanan Industri Aeroangkasa Nasional Malaysia (NAICO) dan Dassault Systèmes itu turut merancang membimbing seramai 2,500 peserta untuk memperoleh pensijilan selepas melengkapkan latihan serta lulus peperiksaan yang ditetapkan.

 

Pusat latihan yang ditempatkan di Pusat MyAERO itu dilengkapi 3,000 lesen platform awan 3DEXPERIENCE bagi membolehkan pelajar dan jurutera tempatan menguasai teknologi reka bentuk, simulasi serta pembuatan digital yang digunakan industri aeroangkasa global.

 

Sebagai projek perintis, fasa pertama ITC melibatkan lima universiti iaitu Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Kolej Universiti i-CATS dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

 

"Turut terlibat ialah lima rakan industri, iaitu CTRM Aero Composites, TUSAS Malaysia, Pecca Leather, Singularity Aerotech Asia dan Innospeak (M) Sdn Bhd, yang juga akan menggunakan program itu untuk meningkatkan kemahiran jurutera masing-masing," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

 

Inisiatif itu bertujuan memacu peralihan industri aeroangkasa Malaysia daripada aktiviti pembuatan berdasarkan pelan (build-to-print) dan penyelenggaraan, pembaikan serta baik pulih (MRO) kepada aktiviti bernilai lebih tinggi seperti reka bentuk, kejuruteraan dan pembuatan digital.

 

Naico_DagangNews2026

 

Ketua Pegawai Eksekutif NAICO Malaysia, Shamsul Kamar Abu Samah berkata, penubuhan ITC merealisasikan komitmen menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai bersama Dassault Systèmes dan Feiran Technology pada Pameran Udara Farnborough di Britain pada 2024.

 

Menurut beliau, pusat latihan itu melengkapkan kemudahan Makmal Visualisasi 3D di Pusat MyAERO, selain menyediakan kemahiran pendigitalan yang diperlukan ramai pelajar dan jurutera tempatan untuk bergerak ke segmen reka bentuk serta kejuruteraan.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Feiran Technology, Shabudin Md Saman berkata, latihan menggunakan platform yang tepat akan membantu syarikat aeroangkasa Malaysia membangunkan tenaga kerja berkemahiran dan bersaing dengan lebih yakin di pasaran global.

 

Naib Presiden 3DEXPERIENCE Edu Dassault Systèmes, Nicolas Jeannée berkata, penggunaan platform sama oleh universiti dan syarikat industri membolehkan peserta memperoleh pensijilan seragam, sekali gus memberikan gambaran lebih jelas kepada majikan mengenai tahap kemahiran tenaga kerja.

 

Pelan Induk Industri Aeroangkasa Malaysia 2030 menyasarkan pendapatan tahunan industri sebanyak RM55.2 bilion serta pewujudan 32,000 pekerjaan berpendapatan tinggi menjelang 2030, dengan ITC menjadi antara inisiatif pembangunan bakat bagi menyokong aspirasi tersebut. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved