Yes Group lancar IPO pada harga 18 sen sesaham, sasar raih RM25 juta menjelang penyenaraian di Pasaran ACE

LocalBusiness & Finance
4 Nov 2026 • 11:40 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Yes Group lancar IPO pada harga 18 sen sesaham, sasar raih RM25 juta menjelang penyenaraian di Pasaran ACE Image from: Yes Group lancar IPO pada harga 18 sen sesaham, sasar raih RM25 juta menjelang penyenaraian di Pasaran ACE amree04/11/2026 - 11:40 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 4 Nov — Pengendali agensi pelancongan, Yes Group Management Berhad menyasarkan kutipan RM24.8 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) pada harga 18 sen sesaham menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 26 November 2026.

 

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM16.5 juta akan disalurkan terus kepada syarikat berkenaan bagi usaha membiayai rancangan pengembangan perniagaan, manakala baki RM8.3 juta lagi bakal diterima Pengasas merangkap Pengarah Urusannya, Angela Mak Shau Kwan.

 

Menurut kenyataan kumpulan itu, Mak, 41, yang mengasaskan syarikat tersebut kurang dua dekad lalu, akan menyaksikan pegangan sahamnya berkurangan daripada pemilikan ekuiti 100% kepada hanya kira-kira 74% selepas pelaksanaan IPO berkenaan.

 

"Langkah berkenaan merupakan pencapaian penting dalam perjalanan korporat syarikat ini untuk terus melangkah ke pasaran modal serta menyokong fasa pertumbuhan seterusnya," jelas beliau dalam kenyataan sempena pelancaran prospektus IPO Yes Group tersebut.

 

Permohonan saham IPO itu sudah dibuka sehingga 13 November 2026. Kumpulan itu bermula pada 2008 melalui penubuhan Yes Travel & Events Consultant Sdn Bhd sebelum berkembang daripada perancangan acara korporat kepada pelancongan insentif domestik pada 2010.

 

Beroperasi menggunakan jenama Yes Travel, kumpulan itu memberi tumpuan kepada pelanggan korporat daripada pelbagai industri menerusi perkhidmatan perjalanan insentif yang disesuaikan mengikut keperluan pelanggan serta perancangan acara.

 

Yes Group_DagangNews2026

 

Syarikat itu turut memiliki lesen di bawah program Malaysia My Second Home (MM2H), iaitu skim kediaman jangka panjang yang membolehkan warga asing menetap di Malaysia tertakluk kepada pelbagai syarat kelayakan dan kewangan ditetapkan kerajaan.

 

"Setakat Oktober 2026, Yes Group sudah mempunyai buku tempahan belum dibilkan berjumlah RM34.6 juta yang dijangka terus menyumbang kepada pendapatan syarikat sehingga 2028," kata kenyataan tersebut.

 

Pada harga IPO 18 sen sesaham, syarikat itu akan mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM95.4 juta ketika disenaraikan. Bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026, Yes Group merekodkan keuntungan bersih RM7.5 juta dengan hasil pula mencecah jumlah RM67.1 juta.

 

Daripada hasil IPO yang diterima syarikat ujarnya, sebanyak RM6.5 juta atau hampir kira-kira 40% akan diperuntukkan bagi mengembangkan perkhidmatan pengangkutan darat di pasaran Eropah serta menubuhkan pejabat serantau di United Kingdom.

 

Selain itu tambahnya, sebanyak RM3 juta bakal digunakan untuk menubuhkan Yes Academy bagi menawarkan program pembangunan dan latihan kepada ketua serta pengurus pelancongan syarikat, sekali gus meningkatkan kecekapan operasi kumpulan.

 

Baki hasil IPO pula akan diperuntukkan bagi modal kerja am dan perbelanjaan berkaitan penyenaraian. Malacca Securities Sdn Bhd bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi IPO berkenaan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved