Pelakon, Umie Aida, tampil memberikan teguran terbuka susulan isu rumah tangga membabitkan pempengaruh Jofliam, isteri baharunya Dewi, dan bekas isteri, Cik Epal yang kembali mencetuskan kekecohan di media sosial semalam.
Dalam hantaran di TikTok miliknya, Umie meluahkan rasa tidak senang apabila isu peribadi seperti pergaduhan rumah tangga dikongsi secara terbuka sehingga menjadi tontonan umum.
“Ya Allah.. saya paling tak suka baca benda-benda dan isu-isu macam ni. Di media sosial keluar berita rumah tangga macam ni. Naik rimas, buat dosa kering je.”
Tambahnya lagi, kaum lelaki seharusnya memainkan peranan penting dalam mendamaikan situasi dengan pendekatan matang dan lembut terhadap wanita.
“Cuma satu nasihat saya buat kaum lelaki, tanganilah dengan cara berhemah dan bijak. Sifat wanita ini mudah, dilayan dengan kelembutan dan ikhlas maka pengakhirannya akan baik. Percayalah, lima tahun akan datang, kamu semua akan menyesal dengan perbuatan begini.”
Kenyataan Umie itu dipercayai merujuk kepada insiden semalam yang melibatkan pertelingkahan fizikal antara Dewi dan Cik Epal di rumah Jofliam.
Terdahulu, Cik Epal mendakwa dia telah dicakar di wajah oleh Dewi ketika datang ke rumah bekas suaminya untuk mengambil barang. Beberapa gambar kecederaan di sekitar mata dan dahinya turut dikongsi ke media sosial.
Bagaimanapun, Dewi menafikan dakwaan itu dan menyatakan dia hanya mempertahankan diri selepas dikasari oleh Cik Epal yang melanggar perjanjian untuk tidak naik ke tingkat atas rumah. Dewi turut membuat laporan polis dan mendakwa mengalami kecederaan akibat dicakar serta ditarik rambut.
Untuk rekod, Cik Epal dan Jofliam telah bercerai pada Oktober 2024 selepas 10 tahun bersama dan mempunyai dua orang anak. Jofliam kemudian berkahwin dengan Dewi pada April 2025.
The post ‘Naik rimas baca isu rumah tangga macam ni’ – Umie Aida tegur drama Jofliam, Dewi & Cik Epal appeared first on The Reporter.




