Naim catat untung RM17.8 juta pada 2QFY2025

04/09/2025 - 16:20
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 4 Sept – Naim Holdings Bhd mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM17.8 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2025 (2Q25), susut berbanding RM46.8 juta pada tempoh sama tahun lalu.
Penurunan itu disebabkan prestasi lemah dalam segmen pembinaan dan pembangunan hartanah yang mengekang sumbangan daripada syarikat bersekutu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, hasil suku tahunan meningkat kepada RM51.5 juta daripada RM36.2 juta pada 2Q24, disokong oleh kemajuan kerja lebih kukuh di tapak projek dan jualan lebih tinggi.
“Keuntungan sebelum cukai bagi suku tersebut berjumlah RM19.3 juta berbanding RM48.2 juta pada tahun sebelumnya,” kata Naim.
Bagi separuh pertama 2025, Naim melaporkan keuntungan bersih sebanyak RM14.4 juta, merosot ketara berbanding RM49.7 juta dalam tempoh sama 2024.
Hasil kumpulan pula menurun kepada RM93.7 juta berbanding RM117.1 juta setahun lalu, dengan penurunan itu didorong oleh prestasi jualan yang lebih lemah serta kemajuan perlahan pada projek sedia ada.
Kumpulan itu turut menyatakan keputusan lebih lemah berpunca daripada kerugian segmen berjumlah RM5.2 juta daripada operasi teras, berbanding keuntungan RM4.7 juta tahun lalu.
“Saham keuntungan daripada syarikat bersekutu, Dayang Enterprise Holdings Bhd (Dayang), turut merosot kepada RM21.5 juta dalam separuh pertama tahun ini berbanding RM40 juta pada 2024, mencerminkan kadar sewaan kapal, tahap penggunaan serta kerja kontrak yang lebih rendah.
“Ia bagaimanapun diimbangi sebahagiannya oleh keuntungan pertukaran asing belum direalisasi,” kata syarikat itu.
Bagi perbandingan suku ke suku, Naim kembali mencatat keuntungan daripada kerugian pra-cukai RM1.9 juta pada 1Q25 kepada keuntungan RM19.3 juta pada 2Q25, didorong oleh kemajuan projek sedia ada yang lebih baik serta jualan lebih tinggi dalam tempoh tiga bulan berkenaan.

Syarikat itu berkata, saham keuntungan bersih kumpulan daripada Dayang turut melonjak kepada RM18.6 juta pada 2Q25 berbanding hanya RM2.9 juta pada suku sebelumnya.
“Segmen pembangunan hartanah Naim mencatat peningkatan hasil kepada RM16.5 juta dalam 2Q25 berbanding RM12.2 juta pada 1Q25, disokong oleh jualan baharu bernilai RM17.6 juta.
“Segmen pembinaan juga kembali mencatat keuntungan sebanyak RM243,000 pada suku berkenaan berbanding kerugian RM930,000 pada 1Q25 berikutan kemajuan kerja yang lebih kukuh,” katanya.
Bagi prospek, kumpulan kekal positif terhadap potensi pertumbuhan segmen hartanahnya di Sarawak walaupun pasaran hartanah Malaysia secara keseluruhan masih lembap.
“Keutamaan utama kami adalah untuk memahami dan memenuhi keperluan pelanggan dengan menawarkan hartanah dan perkhidmatan berkualiti, dengan pendekatan berhati-hati terhadap pelancaran produk, mengambil kira ciri, kualiti, masa dan skala projek.
“Kami sentiasa melaksanakan pelbagai inisiatif jualan dan pemasaran untuk melupuskan inventori sedia ada, di samping melancarkan projek pembangunan baharu secara berhemat pada harga kompetitif dalam persekitaran kos bahan dan pembiayaan yang meningkat,” katanya.
Bagi perniagaan lain, Naim menjangkakan peningkatan beransur-ansur dalam operasi runcit, penyewaan komersial serta hotel di Bintulu dan Miri.
Kumpulan itu menegaskan ia akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan selain mengamalkan pengurusan hutang yang lebih berhemat, dengan pemantauan lebih ketat terhadap kutipan daripada operasi penyewaan runcit. - DagangNews.com
standard

