
KUALA LUMPUR – Badan Peguam telah memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi bagi mencabar pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, atas alasan ia tidak berperlembagaan dan tidak mempunyai asas undang-undang.
Permohonan yang difailkan semalam itu menamakan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Penjara dan Najib selaku responden pertama hingga keempat.
Badan guaman itu memohon kebenaran mahkamah untuk membatalkan prosiding serta keputusan Lembaga Pengampunan berkaitan aturan tahanan rumah yang diberikan pada 18 September lalu, selain memohon perintah penggantungan pelaksanaan keputusan berkenaan sementara menunggu penyelesaian kes semakan kehakiman itu.
Menerusi afidavit sokongan Setiausahanya Jayabalan Raman Kutty, permohonan berkenaan membabitkan prinsip penting berkaitan hak perlembagaan dan hak asasi.
Badan Peguam menyatakan bahawa konsep tahanan rumah tidak tergolong dalam pengertian pengampunan, penangguhan hukuman atau remisi di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
”Cadangan pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib melangkaui bidang kuasa yang diperuntukkan oleh Perlembagaan dan tidak dibenarkan di bawah undang-undang negara,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, Badan Peguam menegaskan bahawa aturan berkenaan dilihat bersifat khusus untuk Najib, sekali gus melanggar Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kesamarataan di sisi undang-undang.
Badan Peguam turut mempersoalkan keabsahan tindakan Lembaga Pengampunan, dengan mendakwa lembaga berkenaan telah menghabiskan bidang kuasanya selepas membuat keputusan memberikan pengampunan separa kepada Najib pada Januari 2024.
Hujah badan peguam itu lagi, pemberian aturan tahanan rumah susulan pengurangan hukuman itu adalah tidak wajar dan disproportionate (tidak seimbang) berbanding keseriusan jenayah yang dilakukan serta implikasinya terhadap negara.
Sehubungan itu, pemohon memohon pengisytiharan mahkamah bahawa aturan tahanan rumah berkenaan termasuk tindakan Menteri dan Ketua Pengarah Penjara dalam memudah cara pelaksanaannya adalah menyalahi undang-undang, terbatal dan tidak sah.
Badan Peguam juga memohon perintah untuk menghalang Najib daripada mengemukakan permohonan pengampunan baharu sehingga semua kes jenayahnya diputuskan sepenuhnya serta beliau membuat permohonan maaf secara terbuka dan menyatakan kekesalan.
Semalam Najib dibenar menjalani baki hukuman penjara dalam kes SRC International Sdn Bhd menerusi tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta di sini secara serta merta.
Ia selepas Hakim Datuk Aslam Zainuddin hari ini mengeluarkan perintah pelepasan baharu sekaligus membatalkan perintah pelepasan yang dikeluarkan pada 6 November lalu terhadap bekas Ahli Parlimen Pekan tersebut. – KOSMO! ONLINE
The post Badan Peguam fail semakan baharu cabar pemenjaraan Najib di rumah appeared first on Kosmo Online.






![[VIDEO] Najib balik Langgak Duta petang ini?](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/WhatsApp-Image-2026-11-10-at-4.38.34-PM-1024x652.jpeg)