“Nak bantu operation” – Remaja 14 Tahun Menyamar Jadi Doktor Hospital Direman, Ini Taktiknya…

Entertainment
9 Aug 2024 • 10:50 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang bertindak menyamar sebagai pegawai perubatan di Hospital Sultan Idris Shah (HSIS) Serdang ditahan reman dua hari sehingga esok untuk membantu siasatan polis.

Menurut laporan, remaja berkenaan didakwa telah ‘bertugas’ di hospital berkenaan selama seminggu.

Guna kad pengenalan palsu

Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Yusof berkata, pihak hospital membuat laporan mengenai remaja itu dan mengesan kehadiran suspek semalam sebelum memaklumkan segera kepada polis.

Ujar beliau, remaja terbabit mendakwa dirinya sebagai pegawai perubatan yang ingin membantu pembedahan dalam dewan bedah.

image is not available

“Pihak hospital mengenal pasti kehadiran perempuan berkenaan pada pukul 8.30 pagi iaitu individu sama cuba mendaftarkan diri di kaunter dengan menggunakan identiti palsu.

“Pihak hospital terus menghubungi pihak polis dan tangkapan dilakukan pada pukul 9 pagi tadi di lobi hospital tersebut,” katanya.

Katanya, turut ditahan bersama suspek sehelai baju scrub, seluar scrub dan lanyard hak milik hospital berkenaan.

Tahanan reman ke atas suspek itu dibuat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan 170 Kanun Keseksaan iaitu menceroboh dan menyamar penjawat awam.

Jika disabit kesalahan menceroboh, suspek boleh dihukum penjara selama tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Manakala, jika disabit kesalahan menyamar penjawat awam, suspek boleh dihukum penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.