BARU-BARU ini Merak Jalanan berkesempatan menghantar ahli keluarga berangkat mengerjakan umrah melalui KLIA.
Musim cuti sekolah, suasana memang meriah dengan orang ramai, termasuk warga emas yang ditemani anak masing-masing.
Dari jauh Merak Jalanan nampak ada yang bertongkat, berkerusi roda dan ada juga yang perlu dipimpin. KLIA memang gah dengan kemudahan serta teknologi moden.
Namun, apabila masuk ke tandas, Merak Jalanan terkilan kerana kecanggihannya tidak semestinya mesra pengguna.
Walaupun sebelum ini Merak Jalanan selalu menggunakan tandas berkenaan, kali ini sedikit berbeza apabila terdengar rungutan warga emas. Kesian lihat mereka terkial-kial menggunakan kemudahan itu.
Tandas yang Merak Jalanan masuk tandas duduk dengan sistem pancutan air dari bahagian mangkuk tandas dan tidak dilengkapi bidet seperti yang biasa digunakan.
Bagi orang muda, mungkin tidak menjadi masalah. Tetapi bayangkan warga emas yang pergerakannya terbatas.
Kita yang masih muda pun rasa kekok, apatah lagi mereka yang sudah berusia. Lebih menyedihkan, Merak Jalanan melihat ada warga emas yang masuk tetapi keluar semula.
Ada juga pakaian terkena air kerana tidak biasa, apatah lagi bagi yang baru pertama kali menggunakannya.
Bukannya tandas di negara orang. Tandas di lapangan terbang negara sendiri pun boleh menyusahkan warga emas dan golongan muda pun Merak Jalanan dengar mengomel mengenai keadaan tersebut.
Bukan cari salah tapi cuma kalau kemudahan bidet boleh memudahkan urusan terutama untuk warga emas, apa salahnya disediakan sebagai pilihan?
Kadang-kadang perkara kecil bagi kita sebenarnya besar maknanya kepada orang lain dan kalau boleh mudahkan, kenapa kita susahkan?

