
KUALA LUMPUR – Kehilangan ahli keluarga bukan sesuatu yang mudah untuk diterima.
Lebih menyakitkan apabila insan tersayang ‘pergi’ serentak dalam sekelip mata, meninggalkan rumah yang dulu riuh bertukar sunyi.
Itulah ujian hidup yang terpaksa dilalui seorang pemuda, Abdur Rahman Amir Ruddin, apabila enam ahli keluarganya maut dalam satu kemalangan tragis beberapa tahun lalu.
Kini, yang tinggal hanyalah kenangan dan gambar lama sebagai pengubat rindu.
Mohon bantuan sunting gambar kahwin
Baru-baru ini, perkongsiannya di aplikasi Threads mengundang sebak ramai.
Menerusi hantaran tersebut, Rahman meminta bantuan orang ramai untuk menyunting gambar perkahwinannya supaya arwah ibu bapa serta adik-beradiknya kelihatan ‘hadir’ bersama di hari bahagianya.
“Ada sesiapa boleh tolong edit gambar wedding saya supaya arwah ahli keluarga saya semua ada di dalamnya?
“Saya nak letak dalam bingkai di sebelah katil supaya hari-hari boleh tengok ibu, abi dan adik-adik,” tulisnya.
Ringkas, tetapi cukup berat maksudnya.
Enam beranak maut dalam nahas
Terdahulu, Rahman kehilangan ibu, bapa serta empat adik dalam nahas jalan raya di Jalan Segamat–Kuantan.
Kejadian itu meragut enam nyawa sekali gus dan mengejutkan ramai ketika itu.
Daripada sebuah keluarga besar, kini hanya dia dan seorang lagi adiknya yang terselamat.
Sekelip mata, Rahman menjadi yatim piatu pada usia muda.
Gambar jadi pengubat rindu
Selepas mendirikan rumah tangga pada Disember lalu, Rahman menyimpan satu hasrat sederhana.
Dia mahu foto yang disunting itu diletakkan di sisi katil sebagai kenangan.
Baginya, walaupun sekadar gambar, ia cukup untuk mengubat rindu dan membuatkan dia rasa keluarganya masih dekat di sisi.
Netizen tampil hulur bantuan
Permintaan tersebut nyata menyentuh hati warga maya.
Menjengah ke ruangan komen, ramai tampil menawarkan diri membantu menyunting gambar secara percuma. Ada juga yang memuji hasil suntingan kelihatan real dan kemas.
Dalam masa sama, netizen turut menitipkan doa agar Rahman dan adiknya terus kuat meneruskan kehidupan.
Kadang-kadang, kebahagiaan bukan tentang apa yang kita miliki.
Cukup sekeping gambar… untuk melepaskan rindu yang tak pernah hilang. – The Malaysian Update
The post “Nak Letak Sebelah Katil, Supaya Hari-Hari Boleh Tengok Mereka” – Rahman Mohon Arwah Ibu Bapa, Adik-Beradik ‘Ada’ Dalam Foto Kahwin appeared first on The Malaysian Update.



