Nak negara bersih, sampah sendiri pun buang merata

EnvironmentLifestyle
13 Oct 2026 • 7:20 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Nak negara bersih, sampah sendiri pun buang merata
Mahu kawasan perumahan bersih, taman indah dan sungai kekal jernih, tetapi sampah selepas makan pun masih ada yang tidak sanggup dibuang ke dalam tong sampah. - Gambar hiasan

MERAK Jalanan kadang-kadang pelik melihat perangai kita sendiri.

Mahu kawasan perumahan bersih, taman cantik dan sungai jernih, tetapi sampah selepas makan pun ada yang tidak sanggup dibuang ke dalam tong.

Kalau begini caranya, siapa sebenarnya yang kita harapkan untuk menjaga kebersihan?

Di tepi jalan, plastik minuman dan pembungkus makanan boleh dilihat berselerak.

Di kawasan rekreasi pula, ada pengunjung yang pulang meninggalkan sisa makanan, botol dan tisu di tempat mereka duduk. Lebih menyedihkan, ada lagi yang membuang sampah dari tingkap kereta seolah-olah jalan raya itu tong sampah bergerak.

Merak Jalanan bukan mahu menuding jari. Memang kerja pihak berkuasa tempatan menyediakan kemudahan dan membersihkan kawasan awam tapi tugas itu tidak bermakna kita boleh mengotorkan sesuka hati.

Pekerja pembersihan juga manusia bukan orang yang perlu mengutip setiap sampah akibat sikap sambil lewa kita.

Kita bangga negara lain dipuji kerana bersih dan teratur tapi kebersihan bukan tercipta dengan slogan atau kempen semata-mata.

Ia bermula daripada tabiat harian dan contoh yang ditunjukkan kepada anak-anak. Jadi, sebelum mengeluh melihat kawasan kotor, cuba periksa dahulu tindakan sendiri.

Tidak perlu tunggu orang menegur atau kamera merakam. Simpan sampah, buang di tempat yang betul dan tegur dengan baik.

Mahu negara bersih? Jangan serahkan semuanya kepada orang lain. Mulakan dengan sampah sendiri. Itulah tanda kita semua benar-benar peduli.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved