
KUALA LUMPUR — Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mengesahkan kadar caruman bagi Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (Lindung 24 Jam) akan dinaikkan secara berperingkat sehingga mencapai 1.25% pada tahun keenam pelaksanaannya.
Langkah berkenaan bakal membolehkan kadar faedah penggantian pendapatan untuk pekerja yang ditimpa kemalangan di luar waktu kerja ditingkatkan secara signifikan—daripada 48% ketika ini kepada 80%.
Timbalan Ketua Eksekutif (Strategik dan Korporat) Perkeso, Edmund Cheong Peck Huang menjelaskan bahawa kadar caruman semasa sebanyak 0.75% merupakan penanda aras terendah yang ditetapkan kerajaan sebagai peringkat permulaan.
“Sebab itulah kita guna 0.75%. Kita akan meningkat untuk pergi semula kepada 1.25% pada tahun keenam dan faedah pun akan bertambah. Bermaksud sekarang ni 48%, tahun keenam ia akan jadi 80% penggantian pendapatan,” kata beliau.
Bercakap kepada media selepas Sesi Literasi Media dan Pengumuman Anugerah Media Perkeso iLINDUNGu 2026 hari ini, Cheong memberitahu bahawa penetapan asal 1.25% diwujudkan bagi menyelaraskan struktur faedah Perkeso yang kebiasaannya menyediakan kadar gantian antara 80 hingga 90%.
Mengambil contoh senario sebenar, seorang pekerja yang meraih gaji bulanan RM6,000 berpotensi menerima bayaran sehingga RM4,800 sebulan sekiranya mengalami hilang upaya kekal langsung.
Menjawab isu maklum balas majikan, Cheong menegaskan skim Lindung 24 Jam tidak dilaksanakan secara tergesa-gesa sebaliknya telah melalui proses perbincangan komprehensif sejak 2017 di peringkat kementerian dan Kabinet.
Bagi mengelakkan kekeliruan, pengasingan caruman dalam slip gaji turut dilaksanakan demi memastikan ketelusan agar pekerja memahami fungsi perlindungan setiap skim—sama ada Skim Bencana Pekerjaan, Skim Insurans Pekerjaan (SIP), mahupun Lindung 24 Jam.
Pada masa sama, beliau menasihati tenaga kerja tempatan agar tidak terburu-buru untuk menarik diri daripada skim tersebut semata-mata kerana sudah mempunyai insurans peribadi atau kad perubatan.
“Contohnya kalau kita bergaji RM2,000 dan PA (insurans kemalangan diri) kita hanya RM10,000, ia akan bertahan hanya lima bulan. Tapi dengan Lindung 24 Jam dan sekiranya anda mempunyai kecederaan yang serius, ia boleh menanggung anda sehingga seumur hidup. Itu perlu dikaji dan diambil tahu. Jadi, pilihlah dengan betul,” jelas beliau. - 17 Ogos, 2026
The post Lindung 24 Jam: Caruman Perkeso naik berperingkat ke 1.25%, ganti 80% pendapatan pekerja appeared first on Scoop.






