“Nak test lembut ke tak” – Wanita Jepun Ditahan Polis Lepas Picit Roti Tapi Tak Beli!

Entertainment
15 Feb 2025 • 2:38 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Seorang wanita di Jepun telah ditahan selepas didakwa merosakkan sebungkus roti krim keju di sebuah pasar raya di Fukuoka.

Menurut pemilik kedai, wanita berusia 40 tahun itu bukan kali pertama dilihat ‘melenyek’ roti tanpa membelinya.

Kali ini, perbuatannya akhirnya membawa padah apabila polis menahannya atas tuduhan melakukan kerosakan dengan sengaja.

Bagaimanapun, wanita tersebut menafikan dakwaan itu dan mendakwa hanya mahu “memeriksa kelembutan roti” dengan menekan bungkusan menggunakan tangannya.

Polis melaporkan, wanita itu menyentuh satu pek roti krim keju dan bijan hitam yang berharga sekitar 180 yen (RM5.50).

Walaupun bungkusan tersebut tidak koyak, roti dalam pek itu rosak selepas ditekan dengan ibu jari kanannya.

Pemilik kedai menyedari roti itu rosak ketika wanita tersebut keluar dari kedai pada Isnin lalu dan meminta dia membayar harga roti berkenaan.

Namun, wanita itu enggan membayar dan cuba beredar.

Tidak berpuas hati, pemilik kedai bertindak mengejarnya sejauh 1 km sebelum menahannya dan memanggil pihak polis.

image is not available
Gambar hiasan – Freepik

Difahamkan, kes sebegini bukan pertama kali berlaku di Jepun. Sebelum ini, tular fenomena ‘sushi terrorism’, satu trend di media sosial di mana individu merakam diri mereka mengusik makanan di restoran sushi.

Antara kejadian yang pernah tular termasuk seorang pelanggan bertindak menjilat botol kicap sebelum meletakkannya semula di atas meja.

Difahamkan, video tersebut mendapat lebih 40 juta tontonan di platform X (dahulunya Twitter).

Sushiro, salah satu rangkaian restoran sushi conveyor belt yang menjadi mangsa ‘sushi terrorism’, telah mengeluarkan kenyataan menyesali insiden itu dan bekerjasama dengan pihak polis bagi mengekang trend yang semakin membimbangkan ini.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.