Nampak Normal, Tapi Lima Tingkah Laku Kucing Ini Boleh Jadi Simptom Masalah Kesihatan Lain

Health & FitnessPets
21 Aug 2025 • 6:20 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu


Pencinta kucing pasti sering memerhatikan tingkah laku si bulus yang pelbagai ragamnya. Memang comel!

Mungkin ada sesetengah gelagat yang sering dilakukan oleh kucing dianggap sebagai sesuatu yang normal.

Namun ia sebenarnya boleh menjadi simptom kepada masalah kesihatan yang lebih serius.

Lima Perkara Yang Si Bulus Buat Mungkin Petanda Masalah Kesihatan Lain

Berdasarkan perkongsian di TikTok (@meowmentor9), berikut adalah lima contoh tingkah laku si bulus yang sebenarnya tidak normal.

Mungkin ramai menganggap biasa sahaja, tetapi boleh menjadi indikasi masalah kesihatan lebih serius.

#1. Kerap Menggaru & Menggoyangkan Telinga

Kucing memang akan menggaru badannya sekali-sekala untuk membersihkan diri. Namun jika si bulus menggaru dan menggoyangkan telinga secara berlebihan, ia mungkin petanda masalah lain.

Salah satunya adalah kerana telinga terasa gatal disebabkan oleh jangkitan kutu telinga. Jika terdapat kutu, selalunya telinga kucing akan dipenuhi kotoran berwarna coklat.

Penggunaan ubat titik atau solusi asid boric telinga boleh membantu untuk membersihkan telinga dan mematikan kutu. Doktor haiwan juga mungkin memberi suntikan atau ubat-ubatan oral buat si bulus.

Antara sebab lain kucing menggaru telinga adalah:

  • Jangkitan yis atau bakteria dalam telinga.
  • Ketumbuhan polip telinga.
  • Alergi.
  • Gigitan serangga.
  • Bahan asing masuk ke dalam telinga.
  • Hematoma telinga.

image is not available
Sumber gambar: Pexels

#2. Duduk Dalam Posisi ‘Mother Hen Sitting’

Sering dikelirukan dengan posisi loaf, kucing yang duduk dalam posisi seperti ibu ayam mungkin berada dalam keadaan yang sakit, stres atau takut.

Dalam posisi ini, kucing akan duduk secara bertinggung (crouches) dengan keempat-empat kaki ditekan pada permukaan lantai, selalunya dengan kuat.

Si bulus mungkin duduk begitu kerana mempunyai rasa sakit pada perut, yang mungkin juga disebabkan oleh batu karang.

Selain itu, ia juga menjadi petanda kucing mengalami masalah Feline Infectious Peritonitis (FIP) yang menyebabkan cecair berkumpul di dalam perut atau dada.

Menurut Pet Care, kucing yang duduk dalam posisi ini tidak semestinya perlu dibawa ke klinik tetapi boleh cuba ubah persekitarannya seperti menyediakan tempat yang sunyi.

Namun jika tingkah laku ini berterusan, pemilik kucing perlu segera bawa kucing ke veterinar untuk pemeriksaan dan rawatan.

image is not available
Sumber gambar: Unsplash

#3. Mulut Atau Nafas Berbau Busuk

Mulut kita mesti berbau kalau tak dibersihkan, apatah lagi kucing! Namun jika bau yang terlalu busuk apabila kucing membuka mulut, ini boleh menjadi petanda masalah gigi atau gusi.

Mulut kucing berbau busuk akibat gusi yang bengkak dan kemerah-merahan, mungkin disebabkan oleh kerengsaan oral. Simptom lain termasuk:

  • Air liur busuk.
  • Air liur keluar berlebihan.
  • Bahan berwarna kuning pekat, coklat atau hijau pada permukaan gigi.
  • Kurang selera atau sukar mengunyah.

Seperti manusia, gigi kucing juga perlu dibersihkan terutamanya jika mereka sentiasa diberi makanan basah.

Menurut PetMD, lain-lain perkara yang menyebabkan mulut kucing berbau busuk adalah:

  • Sesuatu tersekat di celah gigi atau gusi.
  • Ulser mulut disebabkan virus seperti feline calicivirus atau ulser uremic oleh penyakit buah pinggang.
  • Diabetes yang tidak dikawal yang boleh menghasilkan ketones.
  • Kanser mulut.

#4. Kerap Menyeret Punggung (Butt Scooting)

Pernah tak anda lihat sesetengah kucing yang menyeret buntutnya pada permukaan lantai seolah-olah tengah menggosok punggung?

Sebenarnya itu mungkin petanda si bulus dijangkiti parasit! Selalunya ini terjadi apabila kucing sudah lama tidak diberi ubat cacing (deworming).

Menurut PetMD, lain-lain punca termasuk:

  • Sesuatu terlekat pada bahagian luar atau dalam punggung.
  • Kulit gatal atau alergi.
  • Isu pada kelenjar dubur.
  • Ketumbuhan ada bahagian dubur.
  • Prolaps rektum.

Selalunya kucing yang suka menyeret punggung tidak perlu dibawa ke klinik haiwan melainkan bagi tujuan memberi ubat cacing.

Namun jika anda ternampak sesuatu seperti tali terkeluar dari punggung si bulus, jangan tarik kerana ia membahayakan kucing apabila usus boleh tertarik sekali. Sebaliknya segera bawa berjumpa veterinar bagi mendapatkan rawatan.

@cuddlesmeow

Why do cat scouts? 🤔🐈

♬ original sound – CuddlesMeow

#5. Minum Air Dengan Lebih Banyak Berbanding Biasa

Banyak minum air sudah tentu sesuatu yang bagus buat kucing kerana dapat mengelakkan mereka daripada mengalami masalah dehidrasi.

Namun jika si bulus tiba-tiba minum air terlalu banyak berbanding biasa, ia mungkin indikasi masalah kesihatan lain seperti:

  • Masalah buah pinggang.
  • Penyakit hati atau hyperthyroidism.
  • Diabetes.
  • Jangkitan saluran kencing (UTI).

Pengambilan air yang banyak mungkin bertujuan untuk mengurangkan simptom yang dialami oleh kucing seperti lebih kerap kencing, seterusnya menyebabkan cepat dahaga.

Jadi jika si bulus mula minum banyak air tanpa faktor luaran seperti cuaca panas dan kering, bawa mereka ke klinik haiwan bagi tujuan pemeriksaan.

image is not available
Sumber gambar: Pexels

Source: