
KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang dipecat dari Bersatu mendakwa perjumpaan dengan Lembaga Disiplin pada bulan lepas, lebih kepada mahu mencari siapa di belakang beliau dan cuba mensasarkan Timbalan Presiden Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Malah, kata Wan Saiful, perjumpaannya itu langsung tidak membincangkan mengenai aduan sebenar ke atasnya sebaliknya lebih banyak mewujudkan persepsi negatif terhadap Hamzah dengan sikap berat sebelah ditunjukkan oleh ahli-ahli lembaga itu.
Ia sekali gus, kata Wan Saiful menunjukkan Lembaga Disiplin perlu dirombak semula dan timbul persoalan adakah ia diarahkan untuk mengubah keputusan bagi memenuhi kehendak individu tertentu.
Bagi membuktikan berlaku keadaan tersebut, Wan Saiful telah mendedahkan rakaman penuh sesi perjumpaan dengan Lembaga Disiplin pada 8 Oktober lalu yang diadakan di Ibu Pejabat Bersatu.

Dalam rakaman berkenaan, kedengaran suara Datuk Mohammed Radzi Abdul Manan yang merupakan pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu bertanyakan soalan kepada Wan Saiful.
“There must be somebody yang arahkan you… siapa yang betul-betul merosakkan you…. you dah rosak,’’ kata Radzi.
Dalam audio tersebut itu juga Wan Saiful mempersoalkan apa kaitan Hamzah dalam sesi perjumpaan itu.
“I called Hamzah tu ertinya I nak bercakap macam ni dengan dia. Nampak tak? I nampak dah dia rasa dia nak jadi PM (Perdana Menteri)… There are process to be PM (ada proses nak jadi PM). Dah tak nampak dah beramai ramai dengan ahli parti dia…. Yang dia nak pergi dengan PAS,’’ kata Radzi.
Apabila Wan Saiful membantah, Radzi berkata:
“Tak, tak, tak, memang saya nak kaitkan. I want to see who is responsible (saya nak tengok siapa yang bertanggungjawab.”
Oktober lalu, Bersatu telah memecat Wan Saiful dari parti manakala Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal pula digantung selama sepenggal oleh Lembaga Disiplin itu.
Selain Wan Saiful, empat lagi ahli turut dipecat iaitu Mohd Azrudin Md Idris, Mohd Faizal Asmar, Mohd Fahdli Ismail dan Mohd Isa Mohd Saidi.
Khamis lalu, tiga Ketua Bahagian Bersatu telah dipanggil Lembaga Disiplin bagi siasatan berhubung dakwaan terlibat dalam gerakan menjatuhkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai presiden Bersatu dan pengerusi PN.
Mereka ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis; Ketua Bahagian Sepang, Datuk Mohd Suhaimi Ghazali dan serta Ketua Bahagian Puchong, Mohd Shukor Mustafa.
Sementara Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah pula dipanggil Lembaga Disiplin Bersatu pada Khamis bagi siasatan susulan kenyataannya yang didakwa menggesa Muhyiddin berundur. - 3 November, 2025
The post ‘Nampak tak? Dia rasa dia nak jadi PM’ Wan Saiful dedah audio Lembaga Disiplin didakwa sasar Hamzah appeared first on Scoop.
