
MELAKA – Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini bukan percubaan pertama Farzana Hayani dalam gelanggang pilihan raya apabila beliau pernah bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai pada PRN Melaka 2021 ketika masih berusia 21 tahun.
Bezanya kali ini, Farzana Hayani yang kini berusia 26 tahun menjadi sandaran Pakatan Harapan (PH) untuk bertanding di DUN Kelebang.
Katanya, kekalahan pada percubaan pertama itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus berada dalam arena politik, sebaliknya dijadikan pengalaman memperbaiki kelemahan dan menyusun gerak kerja dengan lebih teratur.
Malah, beliau mengakui lebih bersedia kali ini berbanding ketika pertama kali bertanding, terutama daripada segi pengurusan jadual, penyelarasan jentera dan pemahaman terhadap pengundi.
“Untuk di Kelebang ini, saya bergerak di atas kapasiti sebagai Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Tangga Batu. Pada awalnya saya tak sasarkan untuk kembali menjadi calon, tetapi diberi amanah oleh Pengerusi PH.
“Jadi gerak kerja itu memang kita sudah tumpu lebih awal dan sebagai anak jati Bukit Rambai, saya dah kenal pasti beberapa masalah berkaitan pesawah, nelayan dan sebagainya,” katanya.
Jelasnya, pengalaman sebagai Ketua AMK Cabang Tangga Batu turut memberinya ruang untuk membina hubungan dengan masyarakat setempat lebih awal, sekali gus membolehkan gerak kerja tidak bermula hanya selepas namanya diumumkan sebagai calon.
Katanya, antara perkara yang diberi perhatian termasuk isu kebajikan wanita, cabaran golongan ibu bekerja, masalah komuniti nelayan serta peluang pekerjaan kepada anak muda.
Farzana Hayani juga melihat keperluan untuk membawa pendekatan kempen yang lebih dekat dengan generasi muda, memandangkan kelompok itu mempunyai kecenderungan dan cara berinteraksi berbeza berbanding pengundi lebih berusia.
“Orang tengok saya sekarang sudah masuk gear lima. Saya kata, kalau ada gear 10, memang kita akan terus ke gear 10.
“Untuk tempoh baki ini, insya-Allah kita akan lebih banyakkan jadual, lebih kuat bekerja, lebih agresif, lebih banyak jumpa pengundi dan lebih banyak bersalaman dengan mereka selagi mana yang kita mampu,” katanya. -KOSMO! ONLINE
The post Pengalaman Sungai Rambai jadikan Farzana lebih matang appeared first on Kosmo Online.





