“Nanti Kakak Jadi Doktor, Nak Jaga Abah…” – Kata-Kata Anak Ini Buat Ramai Menitis Air Mata, Netizen Doakan Keluarga

LocalFamily & Parenting
22 Jan 2026 • 10:08 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

KUALA LUMPUR – Kasih sayang seorang anak terhadap ibu bapanya sememangnya tiada galang ganti. Kadang-kadang, ayat yang ringkas dan polos itulah yang paling kuat menyentuh hati.

Tular di laman TikTok menerusi akaun @anneeaen, satu video memaparkan momen menyentuh hati antara seorang kanak-kanak perempuan bersama abahnya telah meraih perhatian ramai.

Menerusi perkongsian tersebut, si kecil itu dilihat berbual santai dengan abahnya. Walaupun kedengaran seperti gurauan biasa, namun apa yang diluahkannya membuatkan sesiapa yang mendengar pasti terdiam seketika.

“Bila kakak dah besar, kakak nak jadi doktor… nak jaga abah.”

Ayat ringkas itu bukan sekadar impian seorang kanak-kanak, tetapi lahir daripada rasa kasih dan tanggungjawab yang tulus demi menjaga insan tersayang. Difahamkan, hasratnya untuk menjadi doktor bukan kerana cita-cita semata-mata, sebaliknya mahu memastikan abahnya sentiasa sihat dan terjaga.

Lebih menyentuh hati, menerusi hantaran video terdahulu, keluarga ini turut berkongsi perjalanan getir yang sedang mereka lalui. Mereka memperkenalkan insan tersayang itu sebagai “Papa Zola”, yang suatu ketika dahulu berjuang keras demi membahagiakan keluarga, namun kini terpaksa berjuang untuk meneruskan kehidupan selepas berdepan kecederaan otak traumatik yang serius.

Dalam kapsyen tersebut, mereka menitipkan harapan penuh emosi:

“Inilah Papa Zola kami. Dulu berjuang untuk beri kebahagiaan. Sekarang berjuang untuk sebuah kehidupan.

Mungkin tidak 2024, tidak juga 2025, moga 2026 terus memberi sinar baru.

Jangan berputus asa selagi percaya dengan rahmat Allah.”

Malah mereka memaklumkan sudah 462 hari berlalu penuh ujian, namun keluarga itu tetap berusaha melakukan yang terbaik serta menyambut tahun baharu dengan doa agar sentiasa ada harapan dan semangat baharu.

Ruangan Komen Dipenuhi Doa Dan Kata Semangat

Perkongsian tersebut nyata meruntun perasaan ramai sehingga ruangan komen dibanjiri doa dan kata-kata semangat. Ada yang mengakui berderai air mata sebaik mendengar pengakuan si kecil itu. Seorang pengguna, Wana, mendoakan agar Allah mengurniakan keajaiban buat keluarga berkenaan serta memakbulkan cita-cita kanak-kanak tersebut.

Pemilik akaun video itu sendiri turut membalas dengan ucapan “aamiin” serta berterima kasih atas setiap doa yang dititipkan.

Dalam masa sama, ramai yang percaya anak kecil itu mampu pergi lebih jauh dalam hidup. Seorang netizen meluahkan harapan agar dia berjaya dan bahagia hingga ke syurga, manakala yang lain mengakui awal tahun ini sudah banyak air mata tumpah melihat kisah-kisah menyentuh hati seperti ini.

Tidak kurang juga yang memuji didikan ibu bapanya. Menurut mereka, kata-kata positif dan keinginan untuk menjaga orang tua pada usia sekecil itu jelas membuktikan nilai murni yang diterapkan dalam keluarga tersebut. Malah ada yang menyifatkan ungkapan “nak jadi doktor, nak jaga abah” sebagai kata-kata cinta yang lahir dengan penuh keikhlasan.

Sesungguhnya, kasih anak kepada ibu bapa adalah anugerah yang tidak ternilai. Dalam dunia yang semakin sibuk dan mencabar ini, momen kecil seperti inilah yang mengingatkan kita tentang erti sebenar sebuah keluarga.

Terus kuat adik. Semoga Papa Zola terus diberi kesembuhan, dan impian untuk menjadi doktor suatu hari nanti menjadi kenyataan. – The Malaysian Update

The post “Nanti Kakak Jadi Doktor, Nak Jaga Abah…” – Kata-Kata Anak Ini Buat Ramai Menitis Air Mata, Netizen Doakan Keluarga appeared first on The Malaysian Update.