'Nanti-nanti' sampai bila?

10 Sep 2026 • 8:10 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Nanti-nanti' sampai bila?
Jangan sampai perkataan ‘nanti’ menjadi tabiat. Gambar hiasan

MERAK Jalanan bukanlah orang yang paling menepati masa. Jauh sekali mahu mengaku diri ini sentiasa cepat menyiapkan sesuatu.

Tetapi diri ini tertanya-tanya juga, sejak bila perkataan ‘nanti’ menjadi jawapan paling mudah untuk hampir semua perkara?

“Nanti saya buat, nanti saya datang, nanti saya bayar, nanti saya fikir.” Pendek kata, kalau ada anugerah untuk perkataan paling banyak digunakan dalam kehidupan seharian, mungkin ‘nanti’ sudah lama membawa pulang piala.

Tidak salah sebenarnya mahu buat sesuatu kemudian. Kita semua ada urusan, kerja yang perlu diselesaikan dan masa kadang-kadang tidak mengizinkan.

Masalahnya apabila ‘nanti’ bukan lagi bermaksud kemudian, tetapi menjadi alasan untuk tidak melakukan sesuatu.

Kerja yang boleh disiapkan hari ini ditangguh ke esok. Esok pula ditolak ke lusa. Akhirnya apabila tarikh akhir sudah semakin dekat, barulah kelam-kabut.

Lebih menarik, budaya ‘nanti-nanti’ ini bukan sahaja berlaku dalam urusan kerja. Hendak membalas mesej pun nanti. Kemas bilik pun nanti. Baca buku pun nanti. Mahu telefon ibu bapa pun nanti.

Peliknya, apabila perkara yang ditangguhkan itu akhirnya terlupa, kita pula tertanya-tanya, “Eh, bila masa nak buat?”

Merak Jalanan faham, manusia memang tidak sempurna. Ada ketika kita perlukan masa untuk berehat atau menyusun semula keutamaan.

Cuma jangan sampai perkataan ‘nanti’ menjadi tabiat. Masa tidak pernah tunggu kita bersedia. Hari ini akan menjadi semalam, manakala esok akan tiba tanpa bertanya sama ada kita sudah bersedia atau belum.

Percayalah, terlalu banyak perkara tertangguh kerana perkataan ‘nanti’. Merak Jalanan pun mahu pesan kepada diri sendiri, kalau boleh buat sekarang, buatlah.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved