
KUALA LUMPUR – Kerusi Exco dan Timbalan Speaker DUN Kedah kini menjadi tumpuan susulan pemecatan drastik dua wakil rakyat Bersatu, dengan keputusan akhir mengenai kedudukan mereka kini bergantung sepenuhnya kepada perkenan Sultan Kedah.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan, sebarang tindakan susulan perlu melalui proses pentadbiran yang ketat sebelum dipersembahkan kepada Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.
“Buat masa ini kedua-dua wakil rakyat terbabit menjalankan tugas seperti biasa sementara kerajaan negeri meneliti isu berkenaan sebelum menghadap Sultan Kedah bagi mempersembahkan perkembangan semasa.
“Segala tindakan perlu ikut proses pentadbiran. Kita perlu bincang secara terperinci, sembah maklum kepada Tuanku Sultan dan seterusnya menjalani proses mengikut prosedur yang ditetapkan,” tegas beliau.
Kenyataan itu merujuk kepada nasib Adun Suka Menanti, Dzowahir Ab Ghani (Exco Pertanian) dan Adun Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis (Timbalan Speaker) yang baru sahaja disingkirkan daripada Bersatu.
Status 'Adun bebas' sokong kerajaan
Meskipun surat rasmi pemecatan sudah diterima, Sanusi yang juga Pengerusi PN Kedah mengesahkan kedua-duanya masih memegang jawatan sedia ada buat masa ini.
“Buat masa ini kedua-dua wakil rakyat terbabit menjalankan tugas seperti biasa dan bertindak sebagai Adun bebas yang menyokong kerajaan negeri,” katanya.
Mengulas mengenai tuntutan pertukaran jawatan tersebut, Sanusi mendedahkan bahawa beliau sebelum ini telah menerima surat daripada Bersatu, namun enggan melayan desakan itu lebih awal kerana status keahlian mereka yang masih sah ketika itu.
Malah, isu berkenaan pernah dibincangkan secara terus dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada 10 April lalu.
“Ketika itu kedua-dua wakil rakyat terbabit belum dikenakan tindakan oleh parti, jadi tiada sebab untuk menukar mereka dengan individu lain. Sekarang sudah ada surat rasmi pemecatan diterima, namun tindakan tetap tertakluk kepada prosedur pelantikan Exco dan Timbalan Speaker.”
Semalam, Lembaga Disiplin Bersatu mengesahkan Dzowahir dan Abdul Razak dipecat serta-merta di bawah Fasal 22.5 Perlembagaan parti kerana melanggar Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.
Bola kini di kaki Sanusi untuk menentukan masa yang sesuai bagi mempersembahkan rombakan ini kepada Istana Kedah. - 9 Mei, 2026
The post Nasib 2 Adun ‘dipecat’ di tangan Sultan Kedah, Sanusi tunggu masa menghadap appeared first on Scoop.
