
SEBERANG PERAI – Pengguna jalan berkongsi detik cemas apabila sebuah lori kontena dipercayai dipandu laju di lorong kiri, berdekatan Plaza Tol Juru di Seberang Perai, di sini sebelum membrek secara mengejut di belakang sebuah kereta pada jarak dekat.
Kejadian tersebut dirakam kamera papan pemuka (dashcam) sebuah kenderaan sebelum video tersebut dikongsi dan dimuat naik di media sosial Facebook.
Menerusi video berdurasi 26 saat itu, sebuah lori kontena yang berada di lorong kiri lebuh raya berkenaan dilihat membrek secara mengejut di belakang Perodua Bezza yang sedang bergerak di laluan sama.
Situasi tersebut menyebabkan pengguna jalan raya yang merakam kejadian tersebut menyifatkan pemandu Bezza berkenaan nyaris dirempuh dari belakang.
Perkongsian itu turut mengundang pelbagai reaksi pengguna yang menyifatkan kejadian berkenaan sebagai mencemaskan dan mengingatkan pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati ketika berada berhampiran kenderaan berat.
“Lori tu tinggi… mai (datang)dari jauh lagi dah boleh nampak kot. Macam mana boleh tak perasan? Nasib baik tak kena,” kata seorang pengguna dalam ruangan komen.
“Selalu main fon tapi tak mengaku. Alasan popular brek tak berfungsi,” tulis Mohd. Rodzi.
“Pemandu main fon, sedar dah dekat…Nasib sedar,” balas Koi La.
“Kalau tidak naya Bezza putih tu. Depan dia lori juga,” komen Hamdan Daud.
Sehingga hari ini, hantaran itu mendapat ratusan tanda suka dan komen serta puluhan perkongsian oleh pengguna media sosial. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Nasib baik tak kena hentam lori’ appeared first on Kosmo Digital.





