
SEBERANG PERAI – Beberapa warga asing dipercayai cuba mengelak daripada diperiksa Jabatan Imigresen (JIM) Pulau Pinang dengan bertindak mendiamkan diri dan menyorok di dalam rumah ketika serbuan dijalankan di sebuah flat di Perai, malam tadi.
Dalam operasi itu, anggota penguat kuasa yang memperkenalkan diri serta mengetuk pintu beberapa kali langsung tidak mendapat respon daripada penghuni walaupun terdapat tanda menunjukkan rumah berkenaan berpenghuni.
Selepas beberapa cubaan memanggil penghuni dilakukan, pihak imigresen akhirnya terpaksa memecahkan pintu bagi membolehkan pemeriksaan dijalankan.
Pemeriksaan mendapati terdapat warga asing yang bersembunyi di dalam bilik selepas dipercayai menyedari kehadiran anggota penguat kuasa.
Operasi Penguatkuasaan Bersepadu JIM Pulau Pinang itu dijalankan susulan aduan penduduk berhubung kehadiran warga asing yang didakwa menimbulkan kegusaran, termasuk dakwaan aktiviti tidak bermoral di beberapa unit kediaman.
Sebanyak 10 rumah yang dikenal pasti dihuni warga asing diperiksa dalam operasi berkenaan.
Dalam salah satu pemeriksaan, seorang wanita warga Indonesia ditemukan bersama seorang lelaki tempatan di dalam sebuah bilik.
Pemeriksaan lanjut kemudian menemukan kondom yang telah digunakan sebelum wanita terbabit ditahan bagi membantu siasatan.
Sementara itu, JIM Pulau Pinang dalam satu kenyataan memaklumkan seramai 71 individu diperiksa dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu yang dijalankan di 20 lokasi bermula 10 Ogos lalu.
Daripada jumlah itu, seramai 24 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen membabitkan warga Myanmar, Indonesia, Pakistan dan India.
Kesemua tahanan berusia antara 19 hingga 49 tahun kini ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Jawi untuk siasatan dan tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE
The post Warga asing menyorok, JIM pecah pintu serbu flat Perai appeared first on Kosmo Digital.






