Natrah bangkit selepas disahkan autisme, ADHD di usia 30-an

StartupHealth & Fitness
4 Sep 2026 • 9:45 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Natrah bangkit selepas disahkan autisme, ADHD di usia 30-an

LEGA dan sedih bercampur tatkala Nurul Natrah Aziz @ Awang akhirnya mengetahui jawapan yang dinanti selama lapan bulan lamanya.

Wanita berusia 33 tahun itu disahkan mengalami autisme tahap 1 serta gangguan hiperaktif dan masalah tumpuan (ADHD) jenis gabungan tahap sederhana pada Februari 2025.

Selepas didiagnosis, dia cuba berhenti menyalahkan dirinya dan tertanya-tanya kenapa dia tidak boleh menjadi kuat seperti insan lain.

Segalanya tidak terus mudah selepas mendapat keputusan tersebut.

Malah, dia yang yang mesra disapa Natrah itu melalui fasa putus asa apabila merasakan perkara yang dahulu mampu dilakukannya tiba-tiba terasa jauh lebih sukar.

Dia berdepan burnout autistik, ADHD, meltdown yang semakin kerap dan task paralysis dalam kehidupan seharian.

Pun begitu, bangkit daripada kesedihan dan kekurangan, wanita kelahiran Batu Pahat, Johor yang dibesarkan di Alor Setar, Kedah itu hari ini membuktikan kemampuannya dalam bidang keusahawanan apabila muncul Johan Liga Usahawan Orang Kelainan Upaya (OKU) Selangor edisi ketujuh baru-baru ini.

Pertandingan anjuran Selangor Youth Community (SAY) itu menyaksikan 20 peserta disaring kepada 10 finalis sebelum berentap dalam sesi akhir (pitch).

Merupakan pengasas dan ketua Gembur Education Sdn. Bhd. iaitu satu perusahaan sosial yang menggunakan seni untuk membantu masyarakat memahami individu neurodivergent, Natrah membuktikan kekurangan dirinya bukan penghalang untuk melangkah jauh.

Image from: Natrah bangkit selepas disahkan autisme, ADHD di usia 30-an
NATRAH menerima sijil daripada penaung SAY Lead, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah setelah diumumkan juara Liga Usahawan OKU Selangor edisi ketujuh baru-baru ini.

Apa yang unik, Natrah sebenarnya telah memulakan perusahaan sosial itu pada Oktober 2024 dengan kesedaran untuk membela golongan itu ketika dia mengesyaki mempunyai masalah tersebut dan belum disahkan dengan diagnosis.

Bagi Natrah yang berstatus bujang, kemenangan tersebut bukan sekadar membawa pulang trofi, tetapi membuktikan dia mampu menamatkan sesuatu yang pernah dirasakan sukar.

Sebelum ini, dia pernah menyertai beberapa program inkubasi keusahawanan, namun tidak semuanya dapat diselesaikan dan putus di tengah jalan dek kekangan diri.

“Saya belajar untuk memegang impian, jujur dan berani untuk mengimpikan lebih besar.

“Kemenangan ini bukan pengakhiran, tetapi permulaan,” katanya kepada K-Wanita ketika ditemui baru-baru ini.

Mnyorot perjalanan ‘kelainan’ anak kelima daripada tujuh beradik ini, ia sebenarnya bermula sebelum dia mengenali istilah neurodivergent (otak yang berfungsi dengan cara berbeza daripada apa yang dianggap normal) lagi.

“Semasa sekolah rendah dan menengah, boleh dikatakan saya berada dalam dunia sendiri. Guru, ibu bapa dan adik-beradik menerima cara saya tanpa menganggapnya sebagai sesuatu yang bermasalah.

“Saya masih ingat ketika berada di tingkatan satu, guru meminta pelajar yang tidak menyiapkan kerja rumah memberikan alasan.

“Saya salah seorang daripadanya dan tampil menjawab dengan sebab sebenar. Saya menyangka guru berkenaan benar-benar mahukan jawapan tersebut, tetapi sebaliknya dimarahi selepas selesai bercakap.

“Daripada pengalaman itu, saya mula memahami bahawa sesetengah soalan mempunyai maksud tersirat yang tidak semestinya sama dengan maksud literalnya,” katanya.

Image from: Natrah bangkit selepas disahkan autisme, ADHD di usia 30-an
ANAK kelahiran Batu Pahat ini aktif dalam kerja-kerja kemasyarakatan terutama berkait gangguan neurodivergent. – KOLEKSI NURUL NATRAH

Usai Sijil Pelajaran Malaysia, keluarganya berpindah ke Kuala Lumpur sebelum Natrah terpilih melanjutkan pengajian di University Of Bath, United Kingdom dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal.

Tamat bergraduasi pada tahun 2017, dia pulang ke tanah air dan aktif dalam bidang kesukarelawanan sebelum menyertai Teach For Malaysia (TFM).

Ketika menyertai TFM, dia ditempatkan mengajar di salah sebuah sekolah menengah di ibu kota dan pada masa sama mengikuti Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) di Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Teknik, Nilai, Negeri Sembilan secara separuh masa.

Selama dua tahun, Natrah mengajar mata pelajaran Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) sekali gus menggabungkan minatnya terhadap pendidikan dan kreativiti.

“Saya mahu pelajar menjadi ‘makers’, bukan sekadar ‘consumers’. Bekerja dengan tangan juga mengajar kita memerhati dan menghargai dunia,” katanya.

Bagaimanapun, tamat kontrak mengajar, Natrah memilih untuk mencuba bidang yang sepadan dengan kelayakan akademiknya di universiti.

Dia juga perlu melunaskan bon biasiswa, lalu menyertai sebuah syarikat berasaskan teknikal ketika negara berdepan pandemik Covid-19.

Namun, tugasnya bukan sebagai jurutera seperti diharapkan, sebaliknya sebagai ‘business analyst’ yang menggunakan data untuk membantu keputusan pengurusan syarikat. Meskipun mencabar, pengalaman itu mengajarnya selok-belok perniagaan, membuat keputusan dan pengurusan pihak berkepentingan.

Pada masa sama, Natrah mula sedar ada sesuatu yang ‘tidak kena’ pada dirinya apabila pulang bekerja dalam keadaan terlalu letih.

Bunyi bising, lampu terang, orang lalu-lalang dan gangguan mengejut membuatkan fikirannya mudah mengalami sensory overwhelm (keadaan di mana deria badan menerima terlalu banyak maklumat atau rangsangan daripada persekitaran secara serentak sehingga otak tidak mampu memprosesnya). Perlu bertukar tugas tiba-tiba dan mengejut, selain menghabiskan banyak tenaga, ada ketika dia pulang dan terus tidur tanpa mandi.

Masalahnya, dia sendiri tidak tahu bagaimana mahu menerangkan keadaan tersebut kerana ketika itu belum berjumpa pakar dan didiagnosis.

Jawapan mula terungkai menerusi satu projek bersama badan sukarelawan apabila dia diberi peluang mengajar sekumpulan remaja autistik dalam bidang robotik.

Melihat cara pelajar-pelajar itu berfikir dan berkomunikasi membuatkan Natrah seperti melihat sebahagian dirinya sendiri.

“Seorang pelajar pernah menolak permintaan membantu mengajar rakannya kerana mahu menyiapkan kerja sendiri terlebih dahulu.

“Bagi sesetengah orang, sikap itu mungkin dianggap kurang sopan, tetapi Natrah melihatnya sebagai keberanian untuk menyatakan keperluan sendiri.

“Dalam fikirannya, individu sebegitu mungkin sukar menyesuaikan diri di tempat kerja jika masyarakat masih tidak memahami cara mereka berfikir.

“Pengalaman itu menjadi titik tolak apabila Natrah mula bertanya, jika tiada tempat kerja yang benar-benar sesuai dengan mereka, mengapa tidak dia membina ruang sendiri untuk mereka?” katanya.

Lalu lahirlah Gembur Education, sebuah perusahaan sosial yang menggunakan seni untuk membantu masyarakat memahami individu neurodivergent. Kerja seni tersebut lukisan, pembuatan baju dan lain-lain.

Nama ‘Gembur’ membawa maksud melonggarkan tanah, selari dengan falsafah Natrah bahawa masalah kadangkala bukan pada benih, tetapi tanah yang terlalu keras.

“Bukan individu neurodivergent yang perlu dibaiki. Kadangkala persekitarannya yang perlu ‘dilonggarkan’ supaya mereka boleh berkembang,” tuturnya yang gemar memakai stoking tidak sepadan kerana menganggapnya sebagai sentuhan kecil yang menyerlahkan personaliti.

Namun, membina dan membangunkan Gembur sejak Oktober 2024 bukan perjalanan mudah apabila Natrah menjadi pengasas tunggal yang mengurus pemasaran, jualan, kewangan dan program.

Keadaan itu memaksanya sentiasa bertukar tugasan, sedangkan setiap pertukaran kerja memerlukan tenaga yang besar buat dirinya.

“Cabaran lain yang saya hadapi tenaga yang tidak menentu kerana ada hari saya mampu melakukan banyak perkara, manakala hari lain langsung tidak berdaya.

“Dari situ saya belajar merancang perniagaan berdasarkan kemampuan sebenar, bukan mengikut apa yang perlu dilakukan tanpa fokus,” katanya.

Pengiktirafan pertama yang besar datang menerusi Anugerah Pitch Terbaik Program Young Art Entrepreneurs (YAE!) anjuran Balai Seni Negara pada Disember 2024, dua bulan selepas syarikatnya ditubuhkan. Lebih manis, kejayaan terbaharu dalam Liga Usahawan OKU pada Ogos 2026 memberi satu lagi suntikan keyakinan kepada wanita ini untuk membawa visi syarikatnya lebih jauh.

Kini, Natrah mahu Gembur berkembang bukan sekadar sebagai perniagaan, tetapi sebuah komuniti yang mampu membantu individu neurodivergent berdikari. Harapannya mereka yang sudah berada di hadapan dan berjaya untuk sama-sama menghulurkan tangan kepada mereka yang masih bertatih.

Bagi Natrah, masyarakat juga perlu mengubah soalan daripada ‘kenapa dia tidak boleh ikut cara kita’ kepada ‘apa yang dia perlukan untuk berjaya’.

Kini, Natrah turut menggerakkan The Ways We Human yang mengetengahkan pengalaman individu neurodivergent menerusi karya seni. Projek itu sedang disusun menjadi pameran instalasi dan turut diteroka untuk diterbitkan dalam bentuk buku.

Bagi Natrah, perjuangan sebenar bukan sekadar meningkatkan kesedaran, tetapi memastikan masyarakat belajar menerima dan bertindak. Pegangan hidupnya ‘In a world where you can be anything, be kind’ akan terus menjadi panduan dalam perjalanan dan setiap langkahnya.

 

The post Natrah bangkit selepas disahkan autisme, ADHD di usia 30-an appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved