
KUALA LUMPUR: Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Negara (NEEAP 2.0) menyasarkan penjimatan tenaga bernilai kira-kira RM85.24 bilion menjelang 2035 atau sebanyak 11.6 peratus, bersamaan penjimatan terkumpul 815,382 terajoule (TJ).
Pelan itu turut menyasarkan pengurangan pelepasan sebanyak 26,108 kilotan setara karbon dioksida (CO₂eq).
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, fasa kedua NEEAP itu akan berpandukan dan diselaraskan dengan Akta Kecekapan dan Konservasi Tenaga (EECA) yang diluluskan Parlimen pada 2024.
“NEEAP 2.0 bukan sahaja memberi tumpuan kepada penggunaan elektrik, malah meningkatkan kecekapan tenaga dalam sektor industri, bangunan dan domestik menerusi sistem pengurusan tenaga, audit tenaga dan penambahbaikan sistem pemanasan.
“Bagi tempoh kira-kira 10 tahun ini, sasaran penjimatan yang kita jangka adalah sebanyak RM85.24 bilion.
“Ini antara langkah paling berkesan untuk memastikan penggunaan tenaga lebih cekap secara menyeluruh, dengan memberi tumpuan kepada tiga segmen utama iaitu industri, domestik dan komersial,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Persidangan Tenaga Lestari Antarabangsa (ISES) Ke-7 2026 di sini, semalam.
NEEAP 2.0 memberi tumpuan kepada empat teras strategik, iaitu pelaksanaan pelan kecekapan tenaga, peningkatan kemahiran tenaga kerja, mekanisme pembiayaan mampan serta penggalakan inisiatif dan pelaburan kecekapan tenaga oleh sektor swasta.
Ia turut merangkumi pengudaraan dan penyaman udara (ACMV), pematuhan Indeks Keamatan Tenaga Bangunan (BEI) serta pengukuhan Piawaian Prestasi Tenaga Minimum (MEPS) bagi peralatan elektrik dan perkakas rumah.
Katanya, pelaksanaan NEEAP terdahulu dalam tempoh 10 tahun berjaya menjimatkan penggunaan elektrik sebanyak 60,886 gigawatt-jam (GWh), melebihi sasaran 52,233 GWh.
“Pencapaian ini bersamaan dengan pengurangan kira-kira 35.6 juta tan setara karbon dioksida serta penjimatan sekitar RM16.1 bilion.
“Selain itu, Akta EECA 2024 menandakan perubahan penting dalam usaha menjadikan kecekapan tenaga sebagai amalan yang diterapkan di seluruh ekonomi.
“Bersama fasa seterusnya dasar nasional, termasuk pengurusan tenaga haba, langkah ini akan menggalakkan pengguna mengoptimumkan penggunaan tenaga, meningkatkan daya saing serta mengurangkan tekanan terhadap grid,” katanya.
Akmal Nasrullah berkata, kerajaan turut menggalakkan penggunaan teknologi digital dan sistem pengurusan tenaga pintar secara lebih meluas.
“Kecekapan tenaga mesti menjadi amalan perniagaan standard dan instrumen produktiviti negara, serta akhirnya menjadi sebahagian daripada cara hidup.
“Ketika kerajaan melaksanakan reformasi subsidi bersasar, pengguna domestik yang menggunakan 600 kilowatt-jam (kWh) elektrik sebulan dan ke bawah terus dikecualikan daripada surcaj tarif.
“Langkah ini melindungi majoriti isi rumah, di samping memastikan bantuan disalurkan dengan lebih berkesan kepada mereka yang memerlukannya.
“Ini selain memperluas penyertaan menerusi tenaga solar atas bumbung, model berasaskan komuniti serta mekanisme pengagregatan,” katanya. – UTUSAN
The post NEEAP 2.0 sasar jimat tenaga RM85.24 bilion menjelang 2035 appeared first on Utusan Malaysia.





