KPKT sasar 1 juta rumah mampu milik menjelang 2035, sifar projek terbengkalai 2030

10 Aug 2026 • 3:39 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Kerajaan menyasarkan penyediaan sebanyak satu juta unit Rumah Mampu Milik menjelang 2035 menerusi pelaksanaan Dasar Perumahan Negara (DPN) 2026–2035.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, penyediaan rumah mampu milik itu akan dilaksanakan berdasarkan permintaan sebenar rakyat bagi mengurangkan ketidaksepadanan antara penawaran dan keperluan pasaran.

Beliau berkata, perancangan berasaskan penggunaan Big Data Analytics akan terus diperkasakan bagi membantu kerajaan mengenal pasti kumpulan pendapatan, perubahan demografi serta harga rumah mampu milik mengikut pendapatan dan lokaliti.

“Selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-13, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) turut menetapkan sasaran untuk menyediakan sebanyak satu juta unit Rumah Mampu Milik menjelang 2035 berasaskan permintaan sebenar.
“Perancangan berasaskan Big Data Analytics akan terus diperkasakan bagi membantu kerajaan mengenal pasti kumpulan pendapatan dan perubahan demografi, serta harga rumah mampu milik berdasarkan pendapatan lokaliti,” katanya.

Image from: KPKT sasar 1 juta rumah mampu milik menjelang 2035, sifar projek terbengkalai 2030

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran DPN 2026–2035 di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Kor Ming, dasar baharu itu membawa perubahan pendekatan dalam pembangunan sektor perumahan negara dengan mengiktiraf kediaman bukan sekadar sebagai komoditi pasaran, sebaliknya sebagai hak asas dan platform kepada kehidupan yang bermaruah.

Image from: KPKT sasar 1 juta rumah mampu milik menjelang 2035, sifar projek terbengkalai 2030

Image from: KPKT sasar 1 juta rumah mampu milik menjelang 2035, sifar projek terbengkalai 2030

Ujarnya, DPN 2026–2035 turut menggariskan enam fokus utama bagi memastikan pembangunan perumahan lebih menyeluruh dan memenuhi keperluan rakyat.

“Antaranya ialah memperkasakan pembangunan perumahan dalam mewujudkan kawasan kejiranan dan bandar yang berdaya huni serta menyelaras penyediaan perumahan sejajar dengan demografi, keperluan dan permintaan penduduk.
“Dasar ini juga memberi penekanan untuk menjamin perumahan berkualiti untuk semua, memastikan keterjaminan pegangan, meningkatkan kebolehcapaian dan kemampuan pembiayaan perumahan serta memperkasa keupayaan penyampaian institusi,” ujarnya.

Beliau berkata, enam fokus berkenaan diterjemahkan menerusi 17 strategi dan 59 pelan tindakan yang merangkumi keseluruhan rantaian nilai sektor perumahan.

Jelasnya, pelan tindakan itu bermula daripada perancangan pembangunan dan penyediaan perumahan sehingga aspek pembiayaan, perlindungan pengguna, tadbir urus serta pembentukan komuniti yang lebih mampan.

“Enam fokus ini turut diterjemahkan melalui 17 strategi dan 59 pelan tindakan untuk membentuk satu rantaian nilai yang bermula daripada perancangan pembangunan, penyediaan perumahan, pembiayaan dan perlindungan pengguna.
“Ia turut merangkumi aspek tadbir urus sehinggalah kepada pembentukan komuniti yang lebih mampan,” jelas Kor Ming.

Image from: KPKT sasar 1 juta rumah mampu milik menjelang 2035, sifar projek terbengkalai 2030

Dalam pada itu, kerajaan turut menegaskan komitmen untuk mencapai sasaran sifar projek perumahan terbengkalai menjelang 2030 menerusi agenda Reformasi Perumahan MADANI.

Beliau berkata, usaha menangani projek perumahan sakit dan terbengkalai sebelum ini telah menunjukkan perkembangan positif apabila Pasukan Petugas Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) berjaya memulihkan ribuan projek.

“Kementerian akan terus memperkukuh agenda Reformasi Perumahan MADANI bagi mencapai sasaran sifar projek terbengkalai menjelang 2030.
“Setakat 30 Jun 2026, kerajaan telah berjaya memulihkan sebanyak 1,647 projek perumahan melibatkan 192,912 unit kediaman dengan nilai pembangunan kasar dianggarkan berjumlah RM153 bilion,” katanya.

Beliau berkata, pelancaran DPN 2026–2035 bukanlah pengakhiran kepada proses penggubalan dasar, sebaliknya menjadi titik permulaan kepada pelaksanaan yang bakal menentukan hala tuju dan masa depan sektor perumahan negara.

Tambahnya, kejayaan dasar itu akhirnya tidak hanya diukur berdasarkan pelancarannya, sebaliknya melalui sejauh mana rakyat benar-benar dapat menikmati manfaat daripada pelaksanaannya.

“Dasar yang baik bukan diukur pada hari ia dilancarkan. Dasar yang baik diukur apabila rakyat mula merasai manfaatnya,” tambah beliau lagi.
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved