Pelan kecekapan tenaga NEEAP 2.0 sasar penjimatan RM85.24 bilion menjelang 2035

LocalEnvironment
11 Aug 2026 • 2:47 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pelan kecekapan tenaga NEEAP 2.0 sasar penjimatan RM85.24 bilion menjelang 2035 Image from: Pelan kecekapan tenaga NEEAP 2.0 sasar penjimatan RM85.24 bilion menjelang 2035 liza11/08/2026 - 14:47 Akmal Nasrullah ketika berucap merasmikan pelancaran NEEAP 2.0 - Gambar BERNAMA

KUALA LUMPUR 11 Ogos – Dasar Kecekapan Tenaga dan Pelan Tindakan 2026–2035 (NEEAP 2.0) mensasarkan untuk menyampaikan penjimatan utiliti sebanyak RM85.24 bilion, mengurangkan permintaan tenaga negara sebanyak 11.6% dan mencapai penjimatan tenaga kumulatif sebanyak 815,383 terajoule (TJ) menjelang 2035.

 

Dasar dan pelan tindakan itu termasuk untuk mengelak pelepasan gas rumah hijau (GHG) sebanyak 26,108 kiloton setara karbon dioksida (CO₂eq).

 

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang merasmikan pelancaran NEEAP 2.0 hari ini berkata pelan tersebut berpandukan Akta Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2024.

 

"Akta itu adalah satu peralihan penting ke arah memperinstitusikan kecekapan merentasi ekonomi kita.

 

"Bersama fasa seterusnya bagi dasar nasional, termasuk pengurusan tenaga terma, ia akan menggalakkan pengguna mengoptimumkan penggunaan, meningkatkan daya saing dan mengurangkan tekanan ke atas grid," katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak Tenaga Lestari Antarabangsa ke-7.

 

NEEAP 2.0 fokus empat teras strategik

Beliau berkata lebih 10 tahun, NEEAP 1.0 telah menghasilkan penjimatan elektrik sebanyak 60,886 gigawatt-jam (GWh), melebihi sasaran asalnya sebanyak 52,233 gigawatt-jam.

 

"Ini adalah bersamaan dengan anggaran pengurangan gas rumah hijau berjumlah 35.6 juta tan dan penjimatan kira-kira RM16.1 bilion," kata Akmal Nasrullah.

 

Beliau berkata kecekapan tenaga mesti menjadi amalan perniagaan standard dan alat produktiviti nasional, serta akhirnya menjadi cara hidup.

 

NEEAP 2.0 memfokuskan pada empat teras strategik iaitu pelaksanaan pelan kecekapan tenaga, latihan semula dalam kemahiran dan peningkatan kemahiran tenaga kerja untuk penambahbaikan kecekapan tenaga operasi, mekanisme pembiayaan mampan dan memudahkan inisiatif serta pelaburan kecekapan tenaga sektor swasta.

 

Pelan dijangka tarik RM36 bilion pelaburan swasta

Inisiatif utama merangkumi penambahbaikan kecekapan tenaga merentasi sektor perindustrian, bangunan dan domestik melalui langkah-langkah seperti kemudahan cekap tenaga, audit tenaga, serta pengawalseliaan peralatan dan perkakas baharu.

 

Pelan berkenaan seiring dengan pelan hala tuju utama di Malaysia iaitu Dasar Tenaga Negara 2022–2040, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, serta Rancangan Malaysia ke-12 dan ke-13.

 

Ia dibangunkan dengan mengambil kira input daripada pelbagai pihak berkepentingan, kementerian, agensi kerajaan, persatuan industri, pemain industri utama, pakar dan pihak berkepentingan yang berkaitan.

 

Sementara itu, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) memaklumkan pelaksanaan NEEAP 2.0 dijangka menarik pelaburan swasta sebanyak RM36 bilion dan mewujudkan kira-kira 29,000 peluang pekerjaan baharu.

 

"Membina pencapaian pelan tindakan terdahulu, NEEAP 2.0 akan memacu peralihan tenaga negara ke arah aspirasi pelepasan sifar bersih menjelang 2050 dengan memupuk budaya kecekapan tenaga merentasi sektor perindustrian, komersial dan domestik.

 

"Keutamaan akan terus diberikan kepada sektor berimpak tinggi untuk merangsang pertumbuhan ekonomi negara, selain daripada memastikan penyertaan semua lapisan masyarakat," menurut PETRA.

 

PETRA memaklumkan anggaran penjimatan tenaga kumulatif sebanyak 815,000 terajoule adalah setara dengan tenaga yang diperlukan untuk menampung keseluruhan keperluan bekalan elektrik Semenanjung Malaysia selama hampir dua tahun. – BERNAMA
 

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved