
JOHOR BAHRU: Negara ASEAN perlu memainkan peranan lebih aktif termasuk mengadakan mesyuarat tergempar bagi menangani krisis jerebu rentas sempadan yang berterusan secara kolektif.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, keadaan jerebu rentas sempadan ketika ini turut memberi kesan kepada Johor, khususnya terhadap kesihatan rakyat dan kualiti udara di beberapa kawasan.
“Dalam perkara ini, pendekatan kita bukan untuk menuding jari kepada mana-mana pihak, sebaliknya mencari jalan penyelesaian bersama kerana kesannya sudah melangkaui sempadan sesebuah negara.
“Apabila pencemaran udara merentasi sempadan dan memberi kesan kepada negara-negara jiran termasuk Malaysia, sudah tentu isu ini memerlukan kerjasama serantau yang lebih erat demi kepentingan bersama,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Terdahulu, Onn Hafiz menerima kunjungan Konsul Jeneral Republik Indonesia di Johor Bahru, Sigit Suryantoro Widiyanto bagi membincangkan keadaan jerebu rentas sempadan ketika ini.
Beliau turut menyampaikan kebimbangan kerajaan negeri dan berharap segala usaha untuk menangani punca jerebu dapat terus dipergiatkan khususnya oleh pucuk pimpinan negara ASEAN bagi membantu memulihkan keadaan secepat mungkin.
“Negara ASEAN yang mempunyai kepakaran, aset dan keupayaan boleh tampil membantu mengikut keperluan serta melalui penyelarasan dan persetujuan bersama.
“Dengan kerjasama yang baik, usaha pencegahan, pemantauan dan tindak balas dapat dilaksanakan dengan lebih pantas dan berkesan demi kesejahteraan rakyat di seluruh rantau ini,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Dr. Muhammad Naqib Md. Ghazali berkata, sebanyak 176 institut persekolahan dibawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di daerah Batu Pahat ditutup hari ini selepas rekod bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) menunjukkan bacaan 203, malam tadi.
“Ini melibatkan sebanyak 144 sekolah rendah, 31 sekolah menengah dan sebuah kolej vokasional,” katanya.
Selain itu, sebanyak 106 buah Sekolah Agama Kerajaan Johor termasuk Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB) dan 53 buah Institusi Pengajian Islam Swasta (IPIS) di Daerah Batu Pahat turut ditutup.-UTUSAN
The post Negara ASEAN perlu main peranan lebih aktif tangani jerebu rentas sempadan appeared first on Utusan Malaysia.





