Negara hasilkan jagung bijian skala besar

LocalFood
18 Aug 2026 • 8:05 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Negara hasilkan jagung bijian skala besar

SEPANG: Malaysia memulakan pengeluaran jagung bijian berskala besar dalam usaha mengurangkan kebergantungan terhadap 100 peratus import komoditi itu yang mencecah 2.5 juta tan metrik dan bernilai kira-kira RM3 bilion setahun.

Menteri Pertanian dan Keter­jaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, projek penanaman jagung bijian berskala besar itu ketika ini melibatkan keluasan kawasan penanaman kira-kira 400 hektar di Sepang dengan hasil pertama dijangka pada penghujung tahun ini.

Katanya, langkah itu penting bagi memperkukuh sekuriti makanan negara terutama dalam menghadapi risiko perubahan cuaca dan ketidaktentuan geopolitik yang boleh menjejaskan rantaian bekalan makanan.

“Selain projek berskala besar tanaman itu dirancang di Perlis membabitkan kira-kira 2,500 hektar dan Sarawak kira-kira 5,500 hektar, beberapa kawasan di Perak, Johor dan Pahang juga sudah mula melaksanakan penanaman.

“Kita akan menggunakan varieti jagung bijian MZ1 dan MZ2 dibangunkan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) berdasarkan ketahanannya selain berpotensi dikembangkan untuk penanaman secara berskala besar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan varieti jagung bijian tempatan dan meninjau projek pengeluaran jagung bijian berskala besar di Genting Tanah Merah Estate di sini semalam.

Mohamad berkata, pengelua­ran tempatan pada peringkat awal dijangka menyumbang kira-kira tiga hingga empat peratus daripada keperluan negara dan sasaran mencapai 30 peratus memerlukan pengembangan ka­wasan tanaman secara besar-besaran.

“Di sini baru 400 hektar (Genting Tanah Merah Estate) Mungkin tiga hingga empat peratus baru (boleh dicapai), hendak capai 30 peratus itu,” katanya.

Katanya, pengeluaran perta­ma daripada projek berkenaan dijangka boleh diperoleh hujung tahun ini selepas penanaman yang dimulakan pada Ogos mengambil tempoh kira-kira tiga bulan untuk menghasilkan tuaian.

Jelasnya lagi, sasaran pengeluaran domestik itu akan dipertingkatkan secara berperingkat sehingga mencapai sasaran jangka panjang kerajaan.

Beliau berkata, projek rintis itu berpotensi membantu menstabilkan harga ayam dan telur kerana komoditi berkenaan antara bahan utama makanan ternakan.

“Insya-Allah, sebab harga ayam bergantung kepada makanan ayam, soya dan jagung bijian kita import 100 peratus. Sekarang ini jagung bijian kita sudah ada teknologi untuk usahakan,” katanya.-UTUSAN.

The post Negara hasilkan jagung bijian skala besar appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved