liza31/07/2026 - 15:58 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 31 Julai – Untung bersih SkyWorld Development Berhad merosot 47.2% kepada RM29.6 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 berbanding RM56.1 juta pada tahun sebelumnya, susulan penurunan hasil serta peningkatan kos pembiayaan dan perbelanjaan operasi.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata, hasil kumpulan turut menyusut 3.4% kepada RM430.5 juta berbanding RM445.5 juta pada tahun kewangan 2025, manakala keuntungan sebelum cukai merosot 37.6% kepada RM52.8 juta daripada RM84.6 juta.
“Segmen pembangunan hartanah terus menjadi penyumbang utama pendapatan apabila menjana RM418.9 juta atau kira-kira 97% daripada jumlah hasil kumpulan sepanjang tahun kewangan berkenaan.
“Pada masa sama, kos pembiayaan meningkat kepada RM19.1 juta berbanding RM14.7 juta pada tahun sebelumnya, manakala perbelanjaan pentadbiran dan pemasaran turut mencatatkan peningkatan sehingga menjejaskan keuntungan syarikat,” katanya.
Lembaga pengarah bagaimanapun berpandangan prestasi kewangan kumpulan sepanjang tahun tidak dipengaruhi oleh sebarang transaksi atau kejadian luar biasa yang memberi kesan material terhadap keputusan kewangan syarikat.
Aset Meningkat, Bank Tanah Terus Diperkukuh
Walaupun keuntungan merosot, jumlah aset SkyWorld meningkat 35.8% kepada RM2.08 bilion setakat 31 Mac 2026 berbanding RM1.53 bilion pada tahun sebelumnya, didorong pertambahan aset pembangunan dan pegangan tanah.
Nilai inventori tanah yang dipegang untuk pembangunan melonjak kepada RM829.3 juta daripada RM498.1 juta, mencerminkan strategi syarikat memperkukuh bank tanah bagi menyokong pembangunan projek baharu pada masa hadapan.
Seiring dengan pengembangan tersebut, jumlah liabiliti meningkat kepada RM1.17 bilion daripada RM651 juta, didorong pertambahan pinjaman bank, kos pembelian tanah serta penerbitan Nota Jangka Sederhana Islam (Islamic Medium Term Notes) bernilai RM100 juta.
SkyWorld turut mengekalkan agihan dividen kepada pemegang saham dengan mengisytiharkan dividen interim sebanyak 0.22 sen sesaham dan dividen akhir 0.38 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen bagi tahun kewangan 2026 sebanyak 0.60 sen sesaham.
Pelan Jangka Panjang
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SkyWorld Development Berhad, Lee Chee Seng berkata tahun kewangan 2026 menjadi asas penting kepada pelaksanaan pelan jangka panjang SkyWorld 2040 yang akan memacu transformasi syarikat menjadi pemaju hartanah serantau yang lebih pelbagai, dengan pertumbuhan yang seimbang antara pembangunan perniagaan dan amalan kelestarian.
Beliau berkata, syarikat akan terus memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek secara berdisiplin, pengembangan ke pasaran serantau, inovasi produk serta penyediaan kediaman berkualiti yang memenuhi keperluan bandar yang semakin berubah, termasuk aspek kemampuan memiliki rumah, kebolehdiaman dan kecekapan pembinaan.
Menurutnya, SkyWorld turut mengekalkan komitmen terhadap pembangunan mesra alam apabila semua projek kediaman baharu yang siap di Lembah Klang sepanjang tahun kewangan 2026 akan memperoleh pensijilan bangunan hijau, selain memperkukuh usaha mengurus risiko berkaitan perubahan iklim dan alam semula jadi.
Beliau berkata, kumpulan mengagihkan nilai ekonomi sebanyak RM718 juta kepada pihak berkepentingan sepanjang tahun kewangan berkenaan, manakala 99.8% daripada perbelanjaan perolehan atau RM782 juta disalurkan kepada pembekal tempatan sebagai usaha menyokong ekonomi domestik dan memperkukuh rantaian bekalan.
Dalam masa sama, SkyWorld memiliki bank tanah seluas 93.1 hektar di Malaysia dan Vietnam dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar sebanyak RM19.8 bilion yang akan menjadi pemangkin pertumbuhan masa depan. - DagangNews.com






