Tali unjam terbelit kaki, nelayan warga Kemboja dikhuatiri lemas di perairan Pulau Redang

23 Aug 2026 • 12:48 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tali unjam terbelit kaki, nelayan warga Kemboja dikhuatiri lemas di perairan Pulau Redang
Bot yang dinaiki mangsa dikhuatiri lepas selepas kakinya tersangkut pada unjam yang ingin dilemparkan ke laut berdekatan Pulau Redang.

​KUALA TERENGGANU - Usaha pencarian seorang nelayan warga Kemboja yang dikhuatiri lemas di perairan berhampiran Pulau Redang di sini ditamatkan pada Sabtu selepas seminggu operasi dijalankan tanpa sebarang petunjuk baharu.

​Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, pihak polis menerima makluman berhubung kejadian membabitkan mangsa, Chory Song, 30, yang bekerja di atas bot pukat jerut pada 16 Ogos lalu.

​"Dalam kejadian tersebut, mangsa dipercayai jatuh ke laut akibat kakinya terbelit pada tali unjam semasa sedang membuang alatan ke laut," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

​Menurut beliau, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu segera mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dengan penglibatan aset serta anggota dari Balai Polis Pulau Redang dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang.

​Jelas beliau, operasi bermula 16 hingga 22 Ogos itu menggunakan kapal KM Sebatik sebelum digantikan dengan KM Amanah berikutan masalah teknikal mengikut sektor pencarian sistem SAROPS.

​Bagaimanapun, katanya, pasukan penyelamat berdepan cabaran cuaca buruk dan ombak besar sepanjang tempoh operasi.

​"Pada 19 Ogos, pencarian mangsa berdepan keadaan laut bergelora dengan ketinggian ombak antara satu hingga dua meter serta tiupan angin kencang berkelajuan 30 hingga 40 knot.

​"Setelah usaha pencarian dan pemantauan dilaksanakan selama tujuh hari, tiada sebarang penemuan mangsa atau petunjuk baharu. Operasi SAR ditamatkan secara rasminya pada jam 7 malam, 22 Ogos," ujarnya.

​Pihak polis turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi terlibat dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat baharu agar segera melapor kepada pihak berkuasa.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved