
SABAK BERNAM - Seorang nelayan yang dilaporkan hilang ditemui lemas, manakala rakannya masih belum ditemui selepas keluar menangkap ikan di perairan Sungai Besar pada Khamis.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, mayat mangsa, Kamarudin Che Om, 65, ditemui nelayan pada jam 9.35 pagi pada jarak empat batu nautika dari Jeti D' Muara Sungai Haji Dorani di sini.
Menurut beliau, mayat mangsa dibawa ke jeti pada jam 9.55 pagi dan disahkan oleh keluarga mangsa yang berada di jeti berkenaan.
"Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Mohamadul Ehsan berkata, bomba kini masih giat melakukan operasi mencari dan menyelamat seorang lagi mangsa, Mohd Noh Wah, 55.
"Usaha pencarian diteruskan oleh pihak bomba bersama agensi lain dengan melalui teknik permukaan air (water surface) di kawasan pesisiran pantai.
"Pencarian dilaksanakan di lingkungan dua batu nautika menggunakan dua bot serta pemantauan di lokasi terakhir mangsa dilaporkan hilang," ujar beliau.
Sinar Harian pada Khamis melaporkan, dua nelayan termasuk seorang warga emas dikhuatiri hilang di perairan Sungai Besar di sini pada Rabu.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, kejadian dipercayai berlaku jam 4.24 petang.

