
BATU PAHAT – “Saya pegang dia, panggil nama Fiya dan ajar dia mengucap. Dia sempat pandang muka nenek sebelum terkulai dan tidak bergerak lagi.”
Demikian luahan pilu, Jameyah Rabani, 66, yang menjadi insan terakhir memeluk cucunya, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, sebelum remaja itu menghembuskan nafas terakhir selepas dipercayai dibunuh di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, di sini petang Sabtu.
Menurut Jameyah, dia pada mulanya tidak menyangka dua rakan cucunya yang datang ke rumah kira-kira pukul 5.30 petang itu membawa berita buruk mengenai Fiya yang masih belum ditemui.
Katanya, kedua-dua rakan Fiya berasa hairan apabila motosikal milik remaja itu masih berada di sekolah, namun kelibatnya tidak kelihatan.
“Saya kemudian mengajak anak sulung saya, Siti Nur Faeza, 45, yang baru tiba dari Kluang untuk pergi ke sekolah yang terletak kira-kira tiga kilometer dari rumah bagi mencari Fiya.
“Kami pusing mencari di sekitar kawasan sekolah dan rakan-rakannya turut membantu sebelum salah seorang daripada mereka menemui Fiya di dalam dewan,” katanya ketika ditemui di Kampung Parit Selamat, Yong Peng pada di sini.
Jameyah berkata, dia kemudian terdengar jeritan salah seorang rakan cucunya yang memanggilnya supaya segera datang kerana terdapat banyak darah.
“Apabila saya sampai, saya lihat Fiya masih memberi reaksi apabila namanya dipanggil, tetapi keadaannya sangat lemah dan berlumuran darah.
“Saya pegang dia, panggil nama Fiya dan ajar dia mengucap. Dia sempat pandang muka nenek sebelum terkulai dan tidak bergerak lagi,” katanya.
Jameyah berkata, dia reda dengan pemergian cucu yang dijaganya sejak berusia sembilan tahun itu, namun tidak dapat menahan kesedihan apabila mengenangkan Fiya diperlakukan dengan kejam di kawasan sekolah.
Katanya, Fiya dijaga sepenuhnya olehnya selepas ibu remaja itu meninggal dunia akibat kanser hati.
Sementara itu, datuk Fiya, Khyar Abas, 69, berkata, dia tidak menyangka perbualannya bersama cucu ketika bersarapan pada pagi kejadian menjadi pertemuan terakhir mereka.
Menurutnya, dia sempat bertanyakan kepada Fiya sama ada mahu mengikut neneknya menghadiri kenduri perkahwinan di kampung, namun cucunya memaklumkan mempunyai kelas dalam talian pada pukul 11 pagi.
“Fiya juga mempunyai kelas tambahan di sekolah pada pukul 2 petang.
“Kami memang tinggal bertiga sejak Fiya berusia sembilan tahun. Dia seorang yang tidak pernah menyusahkan hati atuk dan nenek serta kuat belajar,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Nenek sempat ajar Fiya mengucap sebelum pergi selamanya appeared first on Kosmo Online.

![Kes Bunuh Irene Sofiya: “Saya Peluk Fiya Sambil Ajar Ucap Kalimah Syahadah” – Nenek [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/10/Pelajar-maut-disyaki-dibunuh.jpg?t=1791089312)



